KUALA LUMPUR 1 Jun – Peminat-peminat bola sepak di seluruh dunia yang merancang untuk ke Rusia bagi menyaksikan Piala Dunia 2018 bakal menikmati pelbagai kemudahan disediakan oleh kerajaan negara tuan rumah tersebut.
Antaranya adalah pelepasan visa percuma kepada semua penyokong yang ingin menyaksikan kempen Piala Dunia dari 4 Jun hingga 15 Julai ini.
Duta Besar Rusia di Malaysia, Valery Yermolov berkata, negaranya mengalu-alukan kedatangan peminat dari seluruh dunia terutamanya dari Malaysia untuk menikmati kejohanan bola sepak paling berprestij itu.
Tambahnya, kerajaan Rusia telah bekerjasama dengan pelbagai pihak di negara itu supaya memberi layanan dan menyediakan fasiliti terbaik kepada peminat dari seluruh dunia untuk menikmati perlawanan dan melawat negara tersebut dengan selesa.
“Semua peminat dari negara luar akan diberikan visa percuma memasuki Rusia sepanjang Piala Dunia berlangsung di setiap venue kejohanan itu dari 4 Jun hingga 15 Julai.
“Beberapa kemudahan pengangkutan awam percuma boleh dinikmati oleh peminat bola sepak namun setiap individu itu harus mendaftar terlebih dahulu secara dalam talian dan melengkapkan beberapa dokumen penting yang diperlukan untuk mendapatkan ‘FAN-ID’ (kad pengenalan peminat) bagi menikmati semua kemudahan yang disediakan.
“Langkah tersebut juga bertujuan memudahkan perjalanan penyokong bola sepak yang ingin memberi sokongan kepada pasukan kesayangan mereka,” katanya dalam sidang akhbar di Pusat Kebudayaan Kedutaan Rusia, di sini hari ini.
Pendaftaran itu boleh dibuat di laman sesawang https://www.fan-id.ru/ dan kad berkenaan tidak dikenakan sebarang caj.
Tuan rumah juga menyediakan kemudahan kepada beberapa media minoriti yang tidak mendapat kad akreditasi untuk memasuki 12 stadium di 11 bandar yang membabitkan 32 pasukan dengan 64 perlawanan yang bakal dilangsungkan.
“Kepada mana-mana media yang tidak mendapat pelepasan rasmi daripada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), pusat media kami bakal menyediakan kemudahan bagi memastikan mereka tidak terlepas sebarang maklumat penting sepanjang Piala Dunia berlangsung.
“Pusat media bakal mengatur sidang akhbar serta memberikan pautan secara menyeluruh dan mereka juga tidak akan terlepas menyaksikan setiap perlawanan kerana semuanya akan disiarkan secara langsung,” kata Yermolov.










