SAINT PETERSBURG 20 Jun – Tuan rumah Piala Dunia 2018, Rusia boleh menarik nafas lega berikutan kedudukan dalam kelompok dua terbaik Kumpulan A sudah menjadi milik mereka selepas menewaskan Mesir 3-1 di Stadium Saint Petersburg sekali gus menjadi pasukan pertama mengesahkan tempat ke pusingan kedua.
Ketika ini Rusia berada di tangga teratas Kumpulan A dengan enam mata selepas dua perlawanan dan jika kalah sekali pun dalam aksi terakhir menentang Uruguay pada Isnin depan, skuad Sbornaya tetap berada dalam kelompok dua terbaik untuk ke pusingan kedua kejohanan.
Dalam perlawanan tersebut, kedua-dua pasukan bermula dengan baik sebelum gol sendiri dijaringkan oleh pemain Mesir, Ahmed Fathi pada minit ke-47 membolehkan Rusia mendahului kedudukan jaringan.
Gol awal itu memberikan kelebihan kepada tuan rumah Piala Dunia 2018 itu untuk terus melancarkan serangan ke gawang lawan dan berupaya menjarakkan kedudukan pada minit ke-59 hasil rembatan kaki kiri pemain Rusia, Denis Cheryshev yang memanfaatkan dengan baik hantaran daripada Mario Fernandes.
Mesir dilihat terus tertekan dengan dua jaringan Rusia sehingga mudah melakukan kesilapan di bahagian pertahanan yang menyaksikan sekali lagi tuan rumah berjaya memperoleh gol mudah menerusi Artem Dzyuba pada minit ke-62.
Gol ketiga itu berpunca daripada kegagalan pertahanan Mesir mengeluarkan bola dari kawasan kotak penalti mereka dengan baik.
Jaringan tunggal Mesir hanya hadir pada minit ke-73 apabila pasukan itu dihadiahkan sepakan penalti yang dimanfaatkan dengan baik oleh Mohamed Salah.
Dalam pada itu, jurulatih Mesir, Hector Cuper berkata, pasukannya mempunyai keyakinan tinggi untuk mendapatkan kemenangan sebelum memulakan aksi menentang Rusia kerana kehadiran Salah namun terpaksa menerima keputusan pada hari ini.
“Dia (Salah) tetap akan menjadi sandaran utama ketika menentang Arab Saudi nanti dalam masa sama saya juga turut menghormati semua pemain saya.
“Ketika kami tidak dapat menurunkan dia (Salah) pasukan merasai ketiadaannya.
“Jika dia tidak mengalami kecederaan ketika aksi Liga Juara-juara pasti dia mempunyai masa tiga minggu berlatih bersama kami.
“Kami semua tahu bahawa dia mempunyai peranan penting buat pasukan ini kerana dia adalah sandaran utama kami dan kecederaannya merisaukan kami,” kata Cuper. – AGENSI










