Rumah terbuka redakan perasaan perkauman - Utusan Malaysia

Rumah terbuka redakan perasaan perkauman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kehadiran Aidilfitri setiap tahun seringkali membawa kepada kegembiraan sebagai tanda berakhirnya ibadah puasa selama sebulan, mahupun saat-saat ketika berkumpulnya keluarga besar untuk saling memaafkan. Namun Aidilfitri pada tahun 2018 ini sangat bersejarah kerana hadir setelah beberapa bulan lalu Parti Pakatan Harapan diumumkan sebagai pemenang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Aidilfitri ini juga memberi makna menzahirkan rasa syukur kepada Allah setelah berhasil melaksanakan pesta demokrasi, sebuah manifestasi kedaulatan rakyat untuk memilih pemimpinnya. Daripada rakyat, oleh rakyat dan untuk rakyat.

Memaafkan kesalahan orang lain adalah sebahagian daripada perbuatan baik yang disukai Allah kerana perbuatan sedemikian akan melahirkan rasa aman dan damai di tengah-tengah kehidupan masyarakat. Bahkan masyarakat merasa tidak dididik dalam suasana dendam dan permusuhan melainkan saling memohon ampun dan memaafkan, saling menolong dan mendukung kebaikan sebagaimana tersirat dalam al-Quran:

Memuatkan artikel berkaitan…

“Orang-orang yang menafkahkan hartanya baik di waktu lapang mahupun di waktu sempit dan orang-orang yang menahan amarahnya dan memaafkan kesalahan orang lain, sungguh Allah menyukai orang-orang yang berbuat baik.”( Surah al-Imran ayat 134)

Prinsip saling memaafkan adalah nilai-nilai moral agama yang cinta pada perdamaian dan keharmonian hidup. Bahkan dalam sejarah kehidupan Nabi sering digambarkan bahawa betapa baginda sering dizalimi namun tetap memaafkan pelakunya.

Lihat ketika peristiwa pembebasan kota Mekah, Rasullullah SAW telah memaafkan kezaliman kaum Quraisy selama beberapa tahun kezaliman dilakukan keatas baginda namun tidak sedikit pun menyimpan dendam atas perbuatan zalim itu. Kemenangan yang diperolehi oleh Nabi bukan digunakan menghukum musuh, apalagi membalas dendam.

Meskipun demikian, kerana adanya desakan dalam kepentingan tertentu, tradisi sedemikian kadang-kadang bertukar menjadi medan politik yang akhirnya boleh membunuh semangat keintiman antara kelompok dan agama.

Sepatutnya dengan semangat rumah terbuka ia dapat menjadi forum yang sangat efektif untuk memulai hubungan baik atau memperbaharui hubungan yang retak selama ini.

Konsep rumah terbuka pada Aidilfitri sebenarnya melambangkan keindahan agama Islam itu sendiri, di samping dapat menarik rahmat dan keberkatan yang datang bersama dengan kunjungan tetamu, jiran tetangga (sekalipun bukan seagama).

Kemuliaan dan kesuciannya tidak boleh dicemari dengan motif dan tujuan lain yang boleh menggugatkan keamanan dan kedamaian.

Sesungguhnya kejahatan dan kepalsuan itu pada dasarnya bertentangan dengan fitrah manusia. Oleh sebab Islam itu agama fitrah yang mudah, samhaa’ (harmoni), terbuka dan toleransi, kita menerima gelagat-gelagat tidak sopan dengan penuh kesabaran.

Satu hadis daripada Ibnu Umar diriwayat Bukhari, Tarmizi, Ahmad dan Ibnu Majah: “Seseorang mukmin yang bergaul dalam masyarakat dengan manusia lainnya dan dia sabar menahankan suka duka dalam masyarakat itu, adalah lebih baik daripada seorang mukmin yang tidak hidup bergaul dalam masyarakat umum dan tidak pernah menunjukkan kesabaran atas suka dukanya masyarakat itu.”

Kemudaratan

Di negara kita, agama menjadi faktor penyatuan kaum iaitu dengan menyederhanakan perasaan taksub dan fanatik agama, perkauman dan budaya serta adat resam melampau bagi sesuatu kaum dan bangsa. Perasaan melampau tentang perkauman dan agama diredakan oleh semangat tolak ansur, setiakawan ketika menyambut hari raya melalui rumah terbuka.

Agama yang kita warisi sebagai agama yang menyatupadukan umat manusia, agama yang menghormati sesama manusia dan memuliakan tetamu mula digugat peranannya oleh ketandusan ilmu pengetahuan tentang Islam.

Kita hendaklah menjalinkan silaturahim sekalipun dengan mereka yang berlainan agama kerana mereka juga ada beberapa haknya seperti hak kewarganegaraan, kejiranan dan kekeluargaan. Emosi melampau mengenai keunggulan sesuatu kaum, atau dalam istilah sosiologi dikenali sebagai ethnocentrisme banyak membawa kemudaratan dalam hubungan antara kaum dalam masyarakat majmuk.

Emosi itu membawa kepada pergaduhan dan konflik antara agama sedangkan Islam mementingkan semangat tolak ansur, yakni tidak menghina agama dan kepercayaan orang lain.

Sebagai agama yang membawa mesej perpaduan antara umat manusia, menghormati sesama manusia dan memuliakan tetamu adalah perkara utama. Tetapi, kehendak tersebut semakin tergugat oleh sebab kejanggalan ilmu yang hanya bersandarkan risikan ilmiah secara terpisah dalam tradisi rasionaliti Barat, menyebabkan masyarakat Islam semakin melihat dirinya terlalu berpihak dan berkelompok.

Melalui silaturahim, hubungan antara manusia semakin rapat dan tiada kebaikan yang lebih cepat mendapat pahala selain silaturahim, dan tiada kejahatan yang lebih cepat mendatangkan azab Allah selain memutuskan silaturahim.

Begitu juga, tiada yang dapat mengubah takdir selain doa, dan tiada yang dapat menambah umur selain kebaikan menjalinkan hubungan silaturahim. Di sinilah silaturahim perlu dibudayakan. Dalam kemeriahan kita mengadakan rumah terbuka Aidilfitri, ini adalah sesuatu yang besar ertinya jika kita boleh menjadikan detik sejarah hitam negara sebagai iktibar.

Kita jadikan ia sebagai sempadan nilai budaya yang bakal membangunkan semula semangat penyatuan antara masyarakat, kerana nilai budaya yang terkandung melalui perayaan Aidilfitri ialah kemenangan setiap Muslim dalam mengekang hawa nafsu.

Dalam suasana kemeriahan rumah terbuka Aidilfitri kita seharusnya dapat membuka pintu silaturahim dengan penuh keakraban dan jadikan momen-momen sejarah silam sebagai panduan dan bukannya cuba menghidupkan kembali budaya ganas dalam masyarakat.

Jangan kita biarkan diri menjadi perosak, kerana kita akan dinilai nanti bersandar sumbangan kepada kepentingan pembangunan masyarakat, agama dan kesejahteraan negara. Dengan memperbanyakkan rumah terbuka pada Aidilfitri, tentunya akan membantu menghapuskan nilai-nilai negatif yang selama ini disandarkan kepada orang Islam.

Bukan Islam akan dapat melihat dan merasai sendiri bahawa Islam sebenarnya sebuah agama yang mementingkan kesejahteraan dan keharmonian setiap manusia, maka di sinilah peluang yang sentiasa terbuka asalkan platform itu tidak digunakan untuk menyuburkan dakyah dan menanamkan rasa kebencian terhadap ‘musuh politik’.

* Penulis ialah Setiausaha Analisis dan Pengurusan Isu, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini