Rumah Merah saji pelacur serendah RM30 diserbu Jabatan Imigresen - Utusan Malaysia

Rumah Merah saji pelacur serendah RM30 diserbu Jabatan Imigresen

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA – Sebuah pusat pelacuran yang dikenali sebagai Rumah Merah di Jalan Petaling, Kuala Lumpur yang menjadi tumpuan lelaki hidung belang untuk mendapatkan khidmat seks serendah RM30 hingga RM40 berjaya digempur oleh Jabatan Imigresen kelmarin.

Taktik mengunci tiga pintu masuk yang diperbuat logam padu dari dalam dengan lima jenis kunci mangga yang berbeza dan membuang anak kunci ternyata tidak berjaya menghalang Unit Operasi Khas (QRT), Bahagian Perisikan Operasi Khas dan Analisa Imigresen untuk menjayakan operasi tersebut dengan bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur.

Menurut Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali, sindiket terbabit bukan sahaja telah mengubahsuai pintu keluar dan tangga bagi memudahkan untuk melarikan diri malah turut mengubah suai tempat kumbahan serta bilik rahsia supaya dapat menyembunyikan diri.

“Bukan sahaja pintu dan tangga telah diubahsuai malah tempat kumbahan dan bilik-bilik rahsia juga diubahsuai sebagai tempat menyorok semasa serbuan. Wanita-wanita warganegara asing tidak dapat menyorokkan diri lama kerana tempat rahsia tersebut telah dihidu oleh anggota penguat kuasa. 

“Wanita-wanita warganegara asing sanggup menyorokkan diri di dalam bilik rahsia yang agak kotor dan berbau busuk untuk mengelakkan diri mereka ditangkap oleh anggota penguat kuasa. Didapati dua penjaga warganegara Malaysia juga menyorokkan di atas siling premis,” katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.

Hasil pemeriksaan, Jabatan Imigresen berjaya menahan seramai 34 wanita warganegara asing yang terdiri daripada 24 wanita warganegara Indonesia, tujuh wanita warganegara India dan tiga wanita warganegara Bangladesh. 

Turut ditahan empat lelaki yang terdiri daripada dua lelaki warganegara Bangladesh, seorang lelaki warganegara India dan seorang lelaki warganegara Indonesia yang merupakan pelanggan di premis pelacuran tersebut. 

Jabatan Imigresen berjaya menahan tujuh lelaki warganegara Malaysia yang bekerja sebagai penjaga di premis tersebut dan merampas wang tunai sebanyak RM1,800 yang dipercayai hasil daripada kegiatan pelacuran.

Mustafar berkata, sebanyak 19 saman saksi telah dikeluarkan kepada pelanggan yang berada di dalam premis semasa serbuan dijalankan bagi membantu siasatan berhubung kes tersebut dan siasatan dibuat di bawah Akta Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM), Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

 “Antara kesalahan yang dikenalpasti ialah tiada dokumen pengenalan diri dan  tinggal lebih masa. Kesemua tahanan akan ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Bukit Jalil, Kuala Lumpur untuk siasatan dan tindakan susulan,” ujar beliau. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN