Rumah guru disimbah cat merah - Utusan Malaysia

Rumah guru disimbah cat merah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT MERTAJAM – Seorang guru dan keluarganya diselebungi ketakutan selepas rumah mereka di Taman Machang Bubok, di sini disimbah cat merah dalam kejadian awal pagi ini.

Kejadian kira-kira pukul 2.40 pagi itu turut mengakibatkan lantai, motosikal dan dinding rumah dikotori cat malah cermin pintu hadapan pecah akibat dibaling cat manakala kereta jenis Honda Civic milik guru lelaki itu turut dirosakkan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid berkata, menurut mangsa berusia 47 tahun itu, ketika kejadian guru berkenaan sedang tidur di tingkat dua rumah teres berkenaan sebelum terdengar bunyi bising dan dentuman kuat.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Mangsa terdengar bunyi kuat sebelum dia melihat keluar rumah dan ternampak tiga lelaki bertopeng dan bertopi sedang membaling sesuatu ke arah keretanya yang diletakkan di hadapan rumah tetapi di luar pagar.

Mereka juga dilihat membaling sesuatu ke dalam kawasan rumahnya sebelum tiga lelaki itu melarikan diri dengan sebuah kereta jenis Perodua Myvi,” katanya di sini hari ini.

Nik Ros Azhan berkata, mangsa turun untuk melihat keadaan hadapan rumahnya dan mendapati lantai, dinding dan motosikal dipenuhi dengan cat merah manakala cermin pintu hadapan turut pecah selepas terkena bungkusan yang mengandungi cat berkenaan.

Katanya cermin hadapan dan belakang kereta mangsa turut dipecahkan tiga lelaki berkenaan dan kejadian tersebut berjaya dirakamkan kamera litar tertutup yang terdapat di rumah guru tersebut.

“Selain itu, dua buah kereta milik jirannya turut dikotori cat merah berkenaan dan mangsa yang turut melihat kejadian tersebut berjaya merekodkan nombor pendaftaran kenderaan suspek,” katanya.

Beliau berkata, siasatan lanjut masih dijalankan dan motif kejadian masih disiasat. – Bernama

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini