PUTRAJAYA – Isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor mengambil masa selama tiga jam untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan berhubung anak syarikat 1Malaysia Development Berhad, SRC International Sdn. Bhd.
Beliau tiba di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kira-kira pukul 11.44 pagi tadi dan keluar pada pukul 3.45 petang.
Rosmah pulang dengan menaiki kereta Mercedes Benz berwarna perak dengan nombor pendaftaran WQF11.
Dalam pada itu, peguamnya, K Kumaraendran ketika bercakap kepada pemberita berkata, anak guamnya selesai memberi keterangan dan memberi kerjasama penuh kepada SPRM itu bagi membantu siasatan.
“Proses mengambil keterangan berlangsung selama tiga jam, anak guam saya memberikan kerjasama penuh. SPRM juga melakukan tugas mereka dengan profesional,” katanya.
Bagaimanapun, beliau enggan menerima sebarang soalan daripada pemberita. – K! ONLINE











