Ringgit terima tekanan luaran, berlegar sekitar RM4.05 - Utusan Malaysia

Ringgit terima tekanan luaran, berlegar sekitar RM4.05

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 20 Jun – Mata wang tempatan akan terus menerima tekanan dari luaran dan dijangka berlegar antara RM3.98 hingga RM4.05 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dalam tempoh terdekat selagi dua negara ekonomi dunia, AS dan China masih bertelingkah.

Ketua Penganalisis Ekonomi Alliance Bank, M.Manokaran berkata, negara ekonomi baharu muncul sedang bergelut dalam menangani ketegangan perdagangan dan juga pelarasan bank pusat yang akan datang selepas Rizab Persekutuan AS menaikkan kadar faedah kali kedua baru-baru ini dan Bank Pusat Eropah (ECB) berhasrat menarik balik program pelonggaran kuantitatif secara berperingkat mulai September tahun ini.

“Mata wang tempatan pula secara dasarnya menerima tekanan sejak April lalu disebabkan pe­ngu­kuhan dolar AS yang meningkat lebih 90 mata bagi Indeks Dolar AS dan keadaan itu bukan sahaja memberi kesan kepada ringgit tetapi juga mata wang Asia yang lain.

“Berdasarkan Indeks Dolar Asia Bloomberg-JP Morgan yang membuat tinjauan ke atas prestasi mata wang Asia, ia jatuh ke paras terendah tahun ini semalam. Ini jelas menunjukkan penyusutan ringgit baru-baru ini lebih dipengaruhi faktor luaran berbanding domestik,” katanya pada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam, ringgit ditutup pada RM4.0020 berbanding dolar AS, terendah sejak Januari 2018. Bagaimanapun pagi ini, mata wang tempatan itu kembali mengukuh setelah dibuka pada RM3.9990. Petang ini, ringgit ditutup pada RM4.0020 berbanding dolar AS.

Indeks FBM KLCI pula menyusut 5.61 mata kepada 1,709.75 mata yang menyaksikan 456 kaunter naik dan 356 kaunter jatuh setelah ditutup.

Ketua Ekonomi MIDF Amanah Investment Bank Bhd., Dr. Kamarudin Mohd. Nor berkata, ketidaktentuan ringgit akan terus dipengaruhi dua faktor luaran terutama ketega­ngan perdagangan antara AS dengan negara-negara serantau termasuk China, Kesatuan Eropah (EU) dan Kanada serta keadaan geopolitik.

Katanya, berdasarkan trend sejak beberapa minggu lalu, keadaan itu tidak hanya tertumpu kepada Malaysia sahaja tetapi turut memberi kesan kepada negara ekonomi baharu muncul (termasuk Malaysia) yang sensitif kepada ketidaktentuan sekali gus mempengaruhi nilai mata wang.

Dalam pada itu, penganalisis pasaran saham, Nazarry Rosli berkata, pelabur masih mempu­nyai keyakinan terhadap Malaysia kerana asas ekonomi yang kukuh dan sebarang kejatuhan buat masa ini dilihat sebagai peluang untuk membeli saham-saham yang kukuh dengan kejatuhan adalah lebih bersifat sentimen luaran yang negatif.

Katanya, indeks FBM KLCI akan bertahan di paras sokongan semasa sekitar 1,715 mata dan sekiranya tekanan jualan berterusan, indeks akan menguji paras sokongan psikologi pada 1,700 mata.

“Namun, terdapat tiga faktor yang akan terus menyebabkan keadaan pasaran tidak menentu terutama perang tarif antara AS dan China, harga minyak mentah dunia yang menurun disebabkan kemungkinan penawaran yang meningkat di pasaran dunia oleh negara kesatuan Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan kedudukan ringgit yang agak lemah disebabkan oleh harga minyak mentah dunia,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN