Ringgit ditutup RM4.0020 - Utusan Malaysia

Ringgit ditutup RM4.0020

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 19 Jun – Ringgit akhirnya ditutup pada RM4.0020 petang ini berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) setelah dibuka tinggi pada sesi pagi iaitu pada RM3.9950.

Indeks FBM KLCI pula ditutup pada 1,715.36 mata selepas menyusut 28.07 mata dengan hanya 226 kaunter naik dan 673 kaunter jatuh. Ia adalah paras terendah yang pernah dicatatkan sejak Di­sember 2017.

Semalam, buat pertama kali dalam tempoh enam bulan tahun ini, ringgit menyusut melebihi paras RM4 berbanding dolar AS dalam sesi dagangan pada pukul 11.40 pagi dipengaruhi pelbagai faktor terutama kebimbangan tercetusnya perang dagangan antara AS dan China.

Menurut Bloomberg, penanda aras ekuiti China jatuh ke paras terendah dalam tempoh dua tahun dan nilai yuan menyusut disebabkan pertikaian perdaga­ngan yang semakin buruk dengan AS yang mendorong jualan panik dan juga bon.

Mata wang China juga jatuh ke paras terendah dalam tempoh lima bulan berbanding dolar dan 10 tahun hasil hutang kerajaan jatuh dua mata asas.

Di Hong Kong pula, Reuters melaporkan pasaran saham ditutup pada paras paling rendah dalam tempoh lebih empat bulan, mengikut jejak pasaran Asia yang dibebani dengan peningkatan perbalahan perdagangan antara AS dan China.

Secara dasarnya, pasaran mata wang baharu muncul di Asia mengalami penyusutan ketara disebabkan kebimbangan berlakunya kejatuhan di rantau ini berikutan ketegangan antara dua negara ekonomi dunia itu.

Presiden AS, Donald Trump semalam dilaporkan mengugut untuk mengenakan tarif tambahan ke atas produk dari China yang dilihat akan meningkatkan kemungkinan berlakunya perang dagangan.

Trump memberi amaran bahawa AS akan melaksanakan 10 peratus tarif terhadap AS$200 bilion (RM800.26 bilion) produk China selepas China membuat keputusan menaikkan tarif pada AS$50 bilion (RM200.06 bilion) ke atas produk AS, yang merupakan pembalasan untuk tarif AS yang diumumkan Jumaat lalu.

Ketua Global Penyelidikan Pasaran dan Strategi Kewangan FXTM, Jameel Ahmad berkata, kebimbangan berterusan terhadap kebangkitan semula permintaan pelabur terhadap dolar AS dan kesan pasaran negatif yang disebabkan kebimbangan berterusan mengenai perang perdagangan antara AS dan China mendorong penyusutan ringgit sehingga melepasi paras RM4 berbanding AS$1.

“Terdapat pasaran mata wang baharu muncul merentasi global menderita disebabkan momentum belian bagi dolar AS terma­suk di kawasan serantau Malaysia.

“Namun, dijangkakan ringgit akan berdepan lebih banyak kerugian terutama tidak ada petunjuk bahawa dolar AS akan mengalami penurunan dari segi permintaan belian,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Sementara itu, dalam nota kajian AmBank Research, menjangkakan AS akan mencatat Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang kukuh tahun ini pada 2.8 peratus dan boleh mencecah tiga peratus.

“Bagaimanapun, pada 2019, unjuran KDNK kekal pada 2.3 peratus dengan mengambil kira sama ada ekonomi AS mampu menangani isu perang dagangan. Ini kerana, isu tersebut akan memberi kesan kepada ekonomi,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN