MELAKA – Seorang remaja perempuan maut manakala kakaknya cedera ringan selepas motosikal jenis Honda Wave 110XS yang ditunggang terbabas di Jalan Batu Berendam di sini hari ini.
Dalam kejadian pukul 8.05 pagi itu, Faten Nursyuhadah Rahman, 20, (gambar kecil) yang parah di kepala meninggal dunia di tempat kejadian.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik negeri, Superintendan Mohd. Sham Abdullah berkata, ketika kejadian dua beradik itu dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Durian Tunggal dari Melaka Baru di sini.
“Setibanya di lokasi, motosikal ditunggang mereka hilang kawalan sebelum terbabas.
“Kemalangan itu turut menyebabkan tiga buah kereta dan sebuah motosikal berlanggar akibat gagal mengelak kenderaan mangsa,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Sementara itu, ayah mangsa, Rahman Abdul Rasip, 53, memberitahu, anak kedua dari tiga beradik itu sedang menunggu panggilan untuk mendaftar di Universiti Teknologi Mara Shah Alam pada September ini.
“Saya tidak menyangka hasratnya untuk menyambung pengajian (Ijazah Sarjana Muda) tidak kesampaian,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Melaka di sini.
Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – K! ONLINE











