KOTA BHARU 7 Jun – Selepas seorang remaja di negeri ini buta sebelah mata gara-gara bermain mercun bola minggu lalu, seorang lagi remaja di Kampung Paya Bemban, dekat sini menjadi mangsa kedua letupan mercun jenis sama apabila hancur empat jari kiri, semalam.
Dalam kejadian pada kira-kira pukul 7.30 malam semalam, empat jari Mohammad Zulhakimi Mohd. Hussain, 13, hancur dan tidak dapat diselamatkan kecuali jari kelingking selain cedera di muka.
Difahamkan, sebelum kejadian, mangsa keluar bermain mercun tersebut di rumah rakannya yang terletak kira-kira 500 meter dari kediamannya.
Ibu mangsa, Rosmazili Nek Ismail, 36, berkata, selepas berbuka puasa, anak sulung daripada empat beradik itu meminta izin untuk keluar dan berjanji akan pulang ke rumah sebelum pukul 8.30 malam.
“Dia janji pulang awal kerana kami sekeluarga bercadang untuk membeli baju raya. Siapa sangka kejadian ini akan menimpanya. Ketika itu, saya baru selesai makan sebelum jiran datang beritahu keadaan anak saya.
“Saya tidak sempat tengok anak kerana jiran terus membawanya ke hospital memandangkan kecederaan dialami amat teruk,” katanya ketika ditemui pemberita di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), di sini hari ini.
Menurut Rozmazili, dia bersyukur kerana penglihatan anaknya tidak terjejas walaupun serpihan mercun tersebut turut terpercik ke bahagian mata.
Kes pertama angkara bermain mercun di negeri ini dilaporkan menimpa seorang remaja lelaki, Eiman Najwan Anwar Fuad, 14, pada 29 Mei lalu.
Mangsa buta mata kanan, cedera tangan kiri dan jari telunjuk kanan selepas belerang mercun bola yang diisi di dalam botol kaca meletup dalam kejadian pada kira-kira pukul 11 malam di Kampung Panji, di sini.









