Remaja buta mata kanan, hancur tangan kiri, jari telunjuk kanan akibat mercun bola - Utusan Malaysia

Remaja buta mata kanan, hancur tangan kiri, jari telunjuk kanan akibat mercun bola

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU – Seorang remaja lelaki berusia 14 tahun buta mata kanan, hancur tangan kiri dan jari telunjuk kanan selepas belerang mercun bola yang diisinya di dalam botol kaca meletup dalam kejadian di Kampung Panji, di sini pada Selasa lalu.

Dalam kejadian kira-kira pukul 11 malam itu, mangsa, Eiman Najwan Anwar Fuad, bersama dua rakannya bermain mercun di kawasan rumah tanpa pengetahuan ibu bapa masing-masing.

Menurut ibunya, Rozita Zakaria ,41, ketika kejadian dia sedang melipat pakaian sebelum terdengar bunyi letupan kuat di luar rumah.

Katanya, dia terus keluar untuk melihat apa yang berlaku dan mendapati anaknys sudah berlumuran darah.

“Kawan dia cakap, mereka bertiga memasukkan belereng mercun bola ke dalam botol kaca dan menaburkannya di atas bara api. Namun, tiba-tiba botol yang dipegang Eiman terlepas daripada tangan dan terjatuh atas bara api sebelum meletup.

“Akibat daripada itu, serpihan kaca telah masuk ke dalam mata hingga mengakibatkan saraf mata rosak dan buta selain tangan kiri dan jari telunjuk kanannya hancur,” katanya ketika ditemui di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, di sini hari ini.

Menurut Rozita, anak kedua daripada tiga beradik itu telah dirawat selama empat hari di HUSM dan keadaannya kini stabil namun masih lemah. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN