KUALA LUMPUR 23 Jun – Hatrik Rufino Segovia membantu Selangor menghampiri final Piala FA selepas membelasah PKNS FC 4-0 dalam separuh akhir pertama di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras malam ini.
Aksi kedua-dua pasukan dalam masa 30 minit pertama agak hambar dengan penguasaan bola banyak berada di bahagian tengah selain terdapat beberapa percubaan dilakukan Selangor dan finalis 2016, PKNS.
Bagaimanapun pemain dari Sepanyol, Segovia berjaya memecah kesunyian apabila menampan bola dalam kotak penalti hasil hantaran D. Kugan pada minit ke-39 untuk membuka jaringan tuan rumah.
Belum lagi habis sorakan penyokong Red Giants meraikan gol pembukaan, Segovia mengandakan kedudukan seminit kemudian apabila menyambut baik hantaran jauh Ilham Udin sebelum melepaskan rembatan deras menewaskan penjaga gol PKNS, Tauffiq Ar Rasyid Johar.
Skuad Semut Merah yang dibimbing Datuk K. Rajagobal berpeluang menokok satu jaringan sebelum wisel rehat babak pertama dibunyikan, namun tendangan Romel Oswaldo dari luar kotak penalti sekadar menyinggah palang gol Selangor.
Segovia melengkapkan hatriknya pada minit ke-56 selepas sekali lagi memanfaatkan hantaran Kugan, sebelum penyerang Selangor itu menjadi punca kepada gol sendiri PKNS yang dilakukan pertahanannya, Azmizi Azmi lapan minit kemudian.
Juara lima kali, Selangor yang dikendalikan Nazliazmi Nasir bakal kembali ke ‘kampung halaman’ di Stadium Shah Alam bagi aksi timbal balik menentang PKNS pada 30 Jun ini. – UTUSAN ONLINE










