KANGAR 18 Jun – Sambutan Hari Raya Aidilfitri bagi pasangan suami isteri warga emas dari Kampung Panggau Wawasan, Kayang di sini terjejas apabila kediaman mereka mengalami kerosakan akibat dipukul ribut yang melanda beberapa kawasan di negeri ini, petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3 petang itu, sebanyak 12 rumah di kawasan Kayang turut mengalami kerosakan selain kebanyakkan bumbung kediaman mereka diterbangkan angin kencang.
Menurut Che Mea Ismail,73, ketika kejadian, dia sedang tidur manakala isteri, Halijah Derani,63, sedang berehat di ruang tamu kediaman tersebut sebelum dikejutkan dengan angin kencang yang menerbangkan bumbung rumah mereka.
Katanya, kejadian ribut itu berlaku begitu pantas sekitar lima minit sebelum disusuri dengan hujan lebat yang berterusan sehingga tengah malam semalam.
Ujarnya, akibat kejadian itu, dia mengalami kerugian lebih RM10,000 selain bekalan elektrik di rumah mereka terpaksa diputuskan bagi mengelak perkara lebih buruk berlaku.
“Saya dan isteri bernasib baik kerana sempat menyelamatkan diri dengan berlindung di sudut bahagian dapur di rumah kami. Ketika itu, saya hanya mampu berserah kepada takdir sekiranya apa- apa berlaku,” katanya ketika ditemui di kediamannya di sini hari ini.
Katanya, kejadian ribut itu kali pertama berlaku di kawasan berkenaan dan situasi itu meninggalkan kesan yang cukup
dalam bagi mereka khususnya ketika sedang menyambut sambutan Aidilfitri.
“Memang terasa sedih, akibat kejadian itu secara tidak langsung menyebabkan kami terpaksa beraya di rumah tidak berbumbung selain beberapa barangan di rumah rosak,” katanya. – UTUSAN ONLINE










