BERCAKAP mengenai persiapan hari raya, keluarga penyanyi Lan Solo tidak ketinggalan memastikan sambutan Aidilfitri tahun ini semeriah tahun-tahun terdahulu.
Malah ketika ini juga dia sudah menyediakan pakaian yang sedondon untuk keluarganya.
Menurut Lan atau Mohd Razlan Mohamed Yusuf, yang lebih menyeronokkan pada sambutan hari raya tahun ini adalah kehadiran anak keempatnya Nur Amna Quzandra yang berusia lima bulan.
“Memang terasa kemeriahannya sebab kami tahu fokus akan diberikan kepada anak keempat kami memandangkan ramai ahli keluarga dan sanak saudara yang masih belum bertemu dengannya di kampung.
“Soal baju yang akan dipakai pada pagi raya sudah selesai, malah baju untuk menziarah kaum keluarga juga sudah kami siapkan awal-awal lagi,” katanya yang akan pulang menyambut Syawal di kampung halamannya di Taiping, Perak.
Bercakap mengenai anak keempatnya yang sumbing, kata Lan, dia dan isterinya, Nur Sheila Hassim bersyukur anaknya itu sudahpun selamat menjalani pembedahan.
“Alhamdulillah, semuanya selamat. Memang kami dalam debaran sebelum pembedahan itu. Lagipun ini adalah pengalaman pertama buat kami. Sepanjang tiga jam pembedahan dilakukan, semua dipermudah dan tiada komplikasi.
“Mendengar pelbagai pandangan memang kita sendiri naik takut sebab dia masih bayi dan bagaimana pembedahan ini akan mengambil masa untuk pulih adalah satu cabaran buat keluarga kami,” katanya yang juga ayah kepada tiga lagi cahaya mata – Nur Amna Qaleesya, 6; Nur Amna Qeesyara, 4; dan Muhammad Akid Qassyaff, 3.
Malah menurut Lan, dia dan isterinya terpaksa mengehadkan orang ramai melawat anaknya itu demi memastikan kesihatannya tidak terganggu selepas menjalani pembedahan pada 31 Mei lalu.
“Sebelum pembedahan itu memang kami tidak bawa dia keluar ke mana-mana sebab takut dia alami demam atau penyakit lain. Kalau demam terpaksa tangguh (pembedahan) jadi kami elakkan semua itu.
“Cuma sambutan raya tahun ini memang saya sudah rancang untuk bawa dia bertemu dengan keluarga dan saudara mara yang sebelum ini tidak berkesempatan bertemu,” katanya.
Sibuk selepas raya
DALAM kesibukan menanti kehadiran Syawal dia juga tidak melupakan kemuliaan Ramadan. Sepanjang bulan ini dia memperlahan aktiviti seni untuk memberikan tumpuan kepada perkara yang berbeza.
“Soal kerjaya memang sepanjang Ramadan ini saya perlahan sedikit, bukanlah perlahan terus. Maknanya promosi single baharu saya tidak sehebat seperti sebelum ini, namun kerja-kerja lain masih berlangsung seperti biasa.
“Selain itu juga, saya ambil peluang yang ada untuk memberi fokus kepada bidang perniagaan.
“Jika sebelum ini, saya lebih selesa menjual pakaian, Ramadan kali ini saya membuka cabang baharu dalam perniagaan saya dengan memasarkan makanan sunah,” katanya.
Bakal sibuk selepas sambutan hari raya, jelasnya, jadual kerjanya juga cukup padat berbanding beberapa tahun lalu.
Walaupun sibuk dia tidak melihat itu sebagai sesuatu yang sukar memandangkan ini adalah rezeki buat anak-anaknya.
“Untuk sambutan hari raya tahun ini saya cuti tidak lama sebab jadual kerja saya sudah penuh.
“Yang penting adalah untuk memastikan dapat meluangkan masa bersama-sama keluarga di kampung dan meraikan Syawal dengan mereka. Itu lebih utama,” katanya.










