Rakyat semakin sedar - Utusan Malaysia

Rakyat semakin sedar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR PUTEH 30 Jun- Pembohongan Kerajaan Pakatan Harapan semakin menonjol apabila manifesto yang dijanjikan dalam Pilihan Raya Umum Ke 14 (PRU-14) gagal dilaksanakan seperti yang dijanjikan kepada rakyat.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, janji yang ditawarkan menerusi manisfeto itu menyebabkan majoriti pengundi muda terpedaya untuk melihat perubahan dalam pentadbiran negara.

Menurutnya, kegagalan memansuhkan bayaran Pinjaman Tabung Pendidikan Nasional (PTPN) dan bayaran tol serta menurunkan kadar harga minyak dengan tampungan subsidi kerajaan menyebabkan sebilangan besar pengundi muda kesal tersilap memberi mandat.

“Banyak perkara dan perubahan yang dilakukan termasuk tidak menghormati penggunaan Bahasa Kebangsaan dalam urusan rasmi kerajaan menjadi titik kesedaran kepada rakyat.

“Kita khuatir kepemimpinan negara hanya menjadi kuda tunggangan pihak tertentu untuk merealisasikan impian dan perjuangan politik mereka termasuk berusaha mengubah perlembangaan yang tidak serasi dengan selera mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Pasir Puteh di Kompleks UMNO Uthmaniyah Pulau Lima, dekat sini, hari ini.

Pemilihan bagi jawatan Ketua UMNO Bahagian Pasir Puteh menyaksikan pertandingan tiga penjuru membabitkan penyandangnya, Datuk Zawawi Othman dicabar Mohd. Agil Awang dan bekas Ketua Pemuda UMNO bahagian itu, Muhammad Yusri Ismail.

Manakala Asyraf Wajdi menang tanpa bertanding bagi jawatan Timbalan Ketua UMNO bahagian berkenaan.

Asyraf Wajdi berkata, UMNO masih releven dalam arena politik negara kerana perjuangannya yang membawa denyut nadi rakyat sekali pun mendapat kekangan kerajaan baharu.

“Kita menghormati keputusan rakyat dan sedar kuasa kerajaan adalah pilihan rakyat sendiri. UMNO akan mengorak langkah baharu sebagai pembangkang yang kuat dan tegas.

“Manakala rakyat perlu menilai kembali tekanan, kekangan dan janji-janji yang gagal ditunaikan oleh kerajaan semasa dalam skop yang global dan seharusnya tidak tersilap pilih kerajaan pada masa akan datang,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN