ISKANDAR PUTERI – Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor bakal ditambah baik bagi membolehkan rakyat bersama-sama mengikuti persidangan sekali gus menyumbang idea mengenai pembangunan negeri ini pada masa hadapan.
Speaker DUN Johor yang baharu sahaja dilantik, Suhaizan Kaiat berkata, penambahbaikan itu bagaimanapun masih dalam peringkat cadangan dan akan diperhalusi oleh jawatankuasa terlibat.
“Saya melihat dari luar dahulu, sebelum menjadi kepimpinan dalam dewan (DUN), sebahagian besar rakyat negeri ini kurang ambil berat perkembangan dalam dewan, mungkin kita tidak memberi ruang kepada mereka untuk mendapatkan maklumat yang jelas dalam dewan ini. Sedangkan mereka ini (rakyat Johor) yang sepatutnya faham dan mengikuti perkembangan bagaimana sesuatu keputusan itu dibuat,” katanya selepas Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Dewan Negeri Johor Yang Ke-14 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar di sini yang menyaksikan seramai 56 ADUN Johor mengangkat sumpah semalam.










