KANGAR 16 Jun – Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail berkenan mendengar taklimat mengenai perancangan strategik projek-projek utama dan inisiatif pembangunan di negeri ini yang dipersembahkan oleh Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) di Galeri DiRaja Arau di sini baru-baru ini.
Berangkat sama pada majlis taklimat itu ialah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.
Keberangkatan tiba baginda berdua itu disambut oleh Ketua Operasi dan Koordinasi NCIA, Datin Shahdee Ahmad; Pengarah projek Kawasan Perindustrian Lembah Chuping (CVIA), Ir. Hafidz Hashim dan Ketua Pejabat NCIA negeri, Syed Zareef Syed Hamzah.
Taklimat mengenai progres dan kejayaan pembangunan yang dicapai itu dipersembahkan oleh Pengarah Kanan Bahagian Pembangunan NCIA, Fajaffri Mohd Fadzil dan Pengarah Perhubungan Negeri, Fauzan Ismail.
Turut dimaklumkan ialah pihak Tessolve Semiconductor Sdn. Bhd. telah menandatangani perjanjian bernilai RM16 juta dalam industri kejuruteraan untuk melaksanakan projek ‘Test Talent Development’ di Perlis tahun ini.
Untuk rekod, projek-projek terkini yang sedang dilaksanakan di negeri ialah ialah CVIA, Pelabuhan Darat Perlis (PIP), Projek Menaik Taraf Terminal kereta api Padang Besar, Kangar Sentral dan ‘Superfruits Valley.
Antara kolaborasi yang membuahkan hasil daripada kerjasama pihak NCIA dan kerajaan negeri setakat ini ialah CVIA, SuriaKu@MySuria, Perancangan Pembangunan Negeri Perlis 2012-2030 dan projek harumanis.- UTUSAN ONLINE










