Rabies di Sarawak, ragut nyawa ke-10 - Utusan Malaysia

Rabies di Sarawak, ragut nyawa ke-10

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SERIAN 1 Jun – Wabak rabies di negeri ini telah meragut nyawa ke-10 setelah seorang pesakit perempuan berusia 21 tahun dari Kampung Koran Bari di sini meninggal dunia pada pukul 5.01 pagi tadi.

Noor Hisham Abdullah
Noor Hisham Abdullah

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, mangsa tersebut mempunyai sejarah digigit anjing peliharaan sendiri di bahagian lengan kanan ketika cuba memandikan anjing itu 20 April lalu.

Katanya, mangsa kemudian mendapatkan rawatan luka anti-tetanus di Hospital Serian pada malam kejadian dan dinasihatkan pergi mendapatkan rawatan lanjut di Klinik Gigitan Anjing hospital sama.

“Bagaimanapun, mangsa tidak pergi ke klinik itu sehinggalah pada 20 Mei lalu, dia mendapatkan rawatan kerana sakit dan lemah di bahu kanan selama empat hari di Hospital Umum Sarawak (HUS).

“Mangsa menjadi semakin teruk dengan menunjukkan simptom halusinasi, demam dan hilang refleks pada kedua-dua tangannya,” katanya dalam kenyataan akhbar di sini sebentar tadi.

Mengulas lanjut, beliau memberitahu, anjing peliharaan itu juga merupakan anjing liar yang diambil dan dipelihara bapa mangsa tiga minggu sebelum kejadian.

“Anjing itu didapati tidak pernah menerima sebarang vaksinasi anti-rabies.

“Sejak pengisytiharan wabak rabies di sini pada 1 Julai tahun lalu, jumlah keseluruhan kes rabies melibatkan 11 orang yang menyaksikan 10 daripadanya meninggal dunia manakala seorang lagi masih dirawat,” ujarnya.

Menurutnya, sebanyak 31 kawasan di Sarawak disahkan positif rabies sehingga semalam. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN