IDLIB 8 Jun – Serangan udara yang dipercayai dilancarkan oleh Rusia di sebuah kampung di wilayah Idlib mengorbankan sekurang -kurangnya 44 mangsa untuk tempoh semalaman, sekali gus menjadikan angka tersebut sebagai jumlah kematian tertinggi dalam satu serangan di rantau tersebut dalam tahun ini, lapor pasukan pemantau hari ini.
“Pesawat perang yang mungkin milik Rusia itu menyasarkan kampung Zardana di kawasan pedalaman utara Idlib dalam tempoh satu malam dan menyebabkan jumlah kematian tertinggi dalam satu serangan tunggal ke atas rantau itu termasuk 11 wanita dan enam kanak-kanak,” kata Pengarah Pasukan itu, Rami Abdulrahaman.
Menurut agensi berita Rusia, Kementerian Pertahanan Rusia bagaimanapun, menafikan dakwaan tersebut.
Memetik laporan Al-Jazeera, lebih 60 mangsa turut tercedera dalam serangan tersebut yang berlaku di Kampung Zardana, kata pasukan pemantau dari Britain itu sambil menambah bahawa serangan berkenaan dilancarkan ketika umat Islam sedang berbuka puasa.











