Promosi Warna-Warni Aidilfitri 2018 - Utusan Malaysia

Promosi Warna-Warni Aidilfitri 2018

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 1 Jun – Meski­pun dunia fesyen hari ini semakin sarat dengan pelbagai rekaan namun bagi mereka yang cerewet dengan penampilan agak sukar untuk membuat pilihan kerana kebanyakan busana yang dipamerkan di pasaran kelihatan sama.

Menyedari keadaan itu, Promosi Warna-Warni Aidilfitri 2018 bertempat di Kompleks Kraf, Jalan Conlay, di sini kembali memeriahkan persiapan Hari Raya untuk mereka yang inginkan kelainan dan tampil unik pada 1 Syawal nanti.

Menurut Ketua Pengarah Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (Kraftangan), Ibrahim Ismail, program yang bermula hari ini hingga 10 Jun depan itu menampilkan konsep produk kraf tempatan dari seluruh negara seperti baju raya, aksesori, peralatan dan hiasan dalaman rumah.

“Seramai 106 usahawan tempatan yang berdaftar de­ngan Kraftangan terlibat dalam program kali ini dan kebanyakan mereka akan menawarkan promosi harga berbeza tetapi masih berpatutan kepada para pengunjung.

“Di samping itu, kita turut menawarkan aktiviti lain kepada pengunjung seperti demonstrasi membuat kuih raya dan mencanting batik bagi membolehkan warga kota mengenali asal-usul kraf tempatan serta bazar Ramadan bagi mereka yang ingin berbuka puasa di sini,” katanya dalam sidang akhbar di Kompleks Kraf, Jalan Conlay di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Kanan Bahagian Pembangunan Industri Kraftangan, Sahaimi Abd. Manaf; Pengarah Kanan Institut Kraf Negara (IKN), Zainal Abidin Che Pa dan Pengarah Seksyen Akademik dan Kemahiran Kraf (IKN), Yazid Parlan.

Jelas Ibrahim, menyedari warga kota menghadapi keka­ngan masa akibat terikat dengan tuntutan kerja, maka pihaknya turut melanjutkan waktu operasi pada hari Jumaat, Sabtu dan Ahad dari pukul 9 pagi hingga 9 malam.

Kata beliau, berbeza pada hari Isnin hingga Khamis, waktu operasi adalah dari pukul 9 pagi hingga 6 petang sahaja.

“Umat Islam yang ingin menunaikan solat, tidak perlu bimbang kerana kami akan menyediakan ruang solat khas untuk hari Jumaat, Sabtu dan Ahad,” katanya.

Menurut Ibrahim, pihaknya menyasarkan kira-kira 20,000 pengunjung akan hadir sepanjang 10 hari program tersebut selain mampu menjana keuntungan yang lebih berbanding tahun lalu iaitu RM2.1 juta.

Katanya, jumlah itu mampu dicapai kerana program tersebut berakhir pada lima hari sebelum menjelang Hari Raya.

“Sebelum ini, kita menganjurkan program yang sama pada awal Ramadan tetapi kali ini kita ubah sebab menyedari trend orang ramai suka membuat persiapan di saat-saat akhir,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN