KUALA LUMPUR 7 Jun – Tahap keselamatan yang longgar di dua buah tapak pembinaan berhampiran Taman Tasik Metropolitan, Kepong di sini mengundang bahaya kepada pengunjung taman berkenaan.
Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng berkata, tapak pembinaan kondominium mewah yang sedang rancak dibina itu menyebabkan jentera berat seperti kren mengangkut bahan binaan beroperasi melepasi sempadan kawasan pembinaan.
Katanya, pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) perlu segera menyiasat dan mengenalpasti langkah yang wajar terhadap pemaju supaya tahap keselamatan orang ramai tidak terdedah kepada sebarang ancaman.
“Jaraknya yang terlalu hampir dengan trek joging membuatkan orang ramai yang beriadah cuba menghindari kawasan berhampiran tapak binaan itu.,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Sementara itu, Pengarah Eksekutif Perancangan DBKL, Datuk Mohd. Najib Mohd. berkata, tempoh kira-kira seminggu akan diberikan kepada pemaju untuk menyerahkan reka bentuk keselamatan yang sewajarnya meliputi jaring perangkap bahan binaan serta penghadang keselamatan konkrit.
“Penanaman semula pokok-pokok juga akan dilaksanakan pemaju melibatkan pembinaan semula landskap yang akan turut meliputi trek basikal dan pejalan kaki di Jalan Metro Perdana Barat,” katanya. – UTUSAN ONLINE











