Projek berkepentingan rakyat perlu diteruskan -Ismail Sabri - Utusan Malaysia

Projek berkepentingan rakyat perlu diteruskan -Ismail Sabri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 3 Jun – Kerajaan Pakatan Harapan diminta meneruskan pelbagai program untuk kepentingan rakyat yang sebelum ini telah diluluskan oleh kerajaan pimpinan Barisan Nasional (BN).

Bekas Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, beliau mendapati banyak projek dibekukan terutama melibatkan kementeriannya dahulu yang berkemungkinan besar akan dibatalkan.

“Malah terdapat program Kementerian yang telah diluluskan kontraknya tetapi tidak diteruskan kerana mendapat arahan pembekuan tersebut dan ini akan merugikan rakyat.

“Kita tidak mahu akibat bertukar kerajaan, bertukar menteri, semua projek dibekukan sedangkan itu diluluskan demi kepentingan rakyat terutama di luar bandar,” katanya dalam sidang akhbar selepas Program Membeli-Belah Sempena Aidilfitri Bersama Anak-Anak Yatim Darul Faiz Gombak di pusat beli-belah Sogo, di sini hari ini.

Seramai 30 anak-anak yatim termasuk pasangan adik-beradik Nur Firuza Amira, 10, dan Nur Firuza Aqilah Fairuz, 7, yang ibu bapa dan adik bongsu mereka terkorban dalam kemalangan jalan raya di Lebuhraya Duta – Ulu Kelang (DUKE) dua tahun lalu, dibawa membeli-belah untuk persiapan Aidilfitri.

Mengulas mengenai tradisi beliau membawa anak-anak yatim ini, Ismail Sabri berkata, walau telah bertukar kerajaan, tradisi ini tetap beliau teruskan.

“Anak-anak ini tidak tahu pun kerajaan bertukar atau tidak, tetapi saya tetap membelikan persiapan hari raya mereka.

“Pada anak-anak ini, saya tetap atuk (datuk) mereka, yang tidak akan melupakan mereka terutama setiap kali tibanya hari raya,” katanya. -UTUSAN ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN