PASIR PUTEH 2 Jun – Seramai 40 Orang Kena Pengawasan (OKP) bagi kes penagihan dadah dibawa menyertai Program Iftar Ramadan anjuran Jawatankuasa Pemulihan Dadah Daerah (JKPD) dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Pasir Puteh, di sini, semalam.
Pengerusi JKPD, Zurkurnain Yusoff berkata, program berbuka beramai-ramai itu dijayakan 10 ahli JKPD dan 20 pegawaj AADK di Kafeteria Tingkat 1 Plaza Mara.
Menurutnya, program itu adalah sebahagian aktiviti wajib hadir bagi 40 OKP terbabit sebagai sebahagian penyelarasan aktiviti pemulihan dadah pengawasan luar kawasan.
“Ketika program itu, tazkirah bertajuk Ilmu dan Amal Berpisah Tiada turut disampaikan Pegawai Kanan AADK negeri, Mohd. Noor Jaafar,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Iftar JKPD dan AADK Pasir Puteh, di sini semalam.
Zurkurnain berkata, program berkenaan seterusnya diisi dengan bacaan tahlil dan solat berjemaah di surau plaza Mara.
Menurutnya, pendekatan agama akan ditingkatkan termasuk mendekatkan OKP dengan masjid dan kerja-kerja amal supaya dapat membantu mereka benar-benar bebas daripada pengaruh dadah. – UTUSAN ONLINE










