KOTA BHARU 2 Jun – Dua orang pemimpin negeri ini yang disebut-sebut wajar menawarkan diri untuk bertanding jawatan Presiden UMNO ialah Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Ketua UMNO Bahagian Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah.

Bagaimanapun kedua-dua pemimpin disegani berkenaan setakat ini masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung perkara tersebut.
Ketika dihubungi hari ini, Mustapa mengakui, ada mendengar desakan dan hasrat akar umbi supaya beliau menawarkan diri bertanding jawatan Presiden dalam pemilihan UMNO kali ini.
Walau bagaimanapun katanya, beliau belum bersedia membuat sebarang pertimbangan dan hanya akan memaklumkan keputusannya kemudian.
“Sebenarnya ada lagi yang lebih baik berbanding saya,” katanya yang enggan mengulas panjang isu berkenaan.
Mustapa, 68, yang pernah memegang jawatan menteri kanan ketika era Tun Dr. Mahathir Mohamad, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Datuk Seri Najib Tun Razak bagaimanapun dikatakan menjadi pilihan utama generasi muda untuk memimpin UMNO.
![]() |
|
TENGKU RAZALEIGH
|
Difahamkan, anak muda terdiri daripada akar umbi Pemuda UMNO, belia dan mahasiswa sudah menemui Mustapa semalam semata-mata mahu mendesak Ahli Parlimen Jeli itu merebut jawatan Presiden.
Selain pengalaman luas Mustapa dalam pentadbiran negara, asas desakan mereka ialah mahu teraju UMNO dikembalikan kepada rakyat biasa, bukan lagi terus dipegang kelompok berdarah ‘bangsawan’.
Mereka juga berpendapat Mustapa mempunyai kelebihan berbanding kebanyakan pemimpin UMNO lain kerana keperibadiannya.
Beliau bebas dari salah laku, tidak terpalit dengan sebarang skandal atau kontroversi, beretika ketika berpolitik, menghormati kawan dan pihak lawan serta kuat bekerja.
Malah Tun Daim Zainuddin pernah menyifatkan Mustapa sebagai ‘budak baik’, lurus, amanah, bijak dan kuat pegangan agama walaupun Bekas Menteri Kewangan tersebut ketika itu sedang berkempen untuk Pakatan Harapan dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 di Kelantan.










