TAWAU – Pasukan Polis Marin (PPM) Tawau mematahkan cubaan menyeludup 260 gulung permaidani ke Nunukan, Indonesia menggunakan sebuah bot jongkong di perairan Pulau Sidam di sini semalam.
Dalam serbuan pada pukul 10.30 malam itu, PPM turut menemui 1,800 pek mi kuning dan tepung jagung seberat 1,100 kilogram (kg) di dalam bot terbabit.
Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Wilayah 4, Deputi Superintendan Mohd. Nazri Ibrahim berkata, dalam serbuan berkenaan seorang lelaki berusia 28 tahun turut diberkas.
“Ketika melakukan Op Gelora, pasukan bertugas mengesan sebuah bot dalam keadaan mencurigakan sedang menuju ke perairan Nunukan, Indonesia.
“Sehubungan itu, kami segera bertindak memintas bot suspek dan hasil pemeriksaan kami menemui barang kawalan yang disembunyikan di dalam bot terbabit,” katanya di sini hari ini.
Mohd. Nazri berkata, suspek juga gagal mengemukakan dokumen sah untuk membawa keluar kesemua barang tersebut dari perairan negara.
PPM merampas bot jongkong kayu bernilai RM20,000, tiga unit enjin (RM36,000), kesemua pek mi kuning (RM4,500), tepung jagung (RM1,650) dan 260 gulung permaidani (RM31,200).
“Kesemua barang rampasan yang dianggarkan berjumlah RM93,350 dibawa ke pangkalan PPM Tawau untuk tindakan lanjut,” katanya.
Kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967. – K! ONLINE










