SOCHI, Rusia 28 Jun – Juara Eropah, Portugal kini bersedia untuk berdepan Uruguay dalam aksi kalah mati malah menganggap pertemuan tersebut sebagai final dan walaupun menyedari lawan memiliki jentera serangan yang rakus serta kemahiran merebut bola di udara, Cedric Soares berkata, mereka tidak gentar.
Skuad kendalian Fernando Santos itu mengesahkan kedudukan mereka ke pusingan 16 pasukan terakhir setelah mengikat Iran 1-1 sekali gus muncul naib juara Kumpulan B.
Berdasarkan rekod kejohanan, Uruguay mengekalkan kemenangan selepas tiga perlawanan dan mereka turut meletakkan pemain tengah yang menggunakan fizikal untuk merebut bola.
“Tidak dinafikan Uruguay memiliki pemain yang bagus. Mereka pasukan yang bagus. Mereka pernah muncul juara dunia sebanyak dua kali.
“Walaupun Uruguay bagus namun kami juga memiliki senjata rahsia. Kami sudah melakukan persediaan rapi untuk berdepan Uruguay dengan sebaik mungkin. Tidak perlu diperkatakan, kami ada kualiti tersendiri dan kami percaya dengan diri sendiri.
“Kami juara Eropah dan kami bersedia untuk mempamerkan kualiti yang dimiliki kepada umum dan kami akan terus melakukannya.
“Semua lawan kami ada pemain besar dan segilintir sahaja pemain tidak ternama. Dalam bola sepak, perkara itu tidak relevan. Kami perlu menyerang bola dan memberi ancaman yang berbahaya namun pada masa sama kena berwaspada.
“Begitulah cara kami akan menghadapi perlawanan menentang Uruguay,” kata pertahanan Portugal, Soares.
Berdasarkan rekod, Uruguay antara salah pasukan terbaik dalam 32 pasukan yang mengambil bahagian pada edisi kali ini apabila memenangi kesemua enam perlawanan pada tahun ini malah mengekalkan gawang tanpa dibolosi.
Bagaimanapun, Soares menegaskan Portugal menghadapi perlawanan dalam kejohanan tersebut satu demi satu malah berkata bermula dari sekarang setiap aksi adalah tegang.
“Setiap perlawanan adalah sukar dan itu sudah terbukti, Piala Dunia amat kompetitif. Matlamat utama kami sudah pasti melepasi peringkat kumpulan dan kami berjaya melakukannya. Sekarang kami bersedia untuk menghadapi aksi kalah mati.
“Aksi ini pasti sukar kerana bermula sekarang setiap perlawanan umpama final. Kami akan menghadapinya seperti itu,” katanya. – AGENSI










