TAHNIAH Kalam ucapkan kepada UMNO. Bagi Kalam UMNO telah memberi ruang seluas-luasnya kepada sesiapa yang merasakan diri mereka layak untuk bertanding pada pemilihan parti 30 Jun ini tanpa sebarang sekatan.
Daripada jawatan Presiden diikuti Timbalan Presiden, Naib Presiden, Ahli Majlis Tertinggi (MT) sehinggalah jawatan-jawatan melibatkan sayap-sayap dalam UMNO, tiada seorang pun disekat daripada bertanding asalkan memenuhi syarat ditetapkan.
Yang penting, apa yang berlaku ini menggambarkan betapa suburnya demokrasi dalam UMNO. Betapa UMNO mahukan pemimpin yang bakal menjadi teraju adalah dalam kalangan mereka yang mendapat mandat sepenuhnya daripada ahli-ahli.
Inilah juga yang dikatakan hikmah di sebalik kekalahan. Apa yang Kalam boleh katakan, perkembangan yang berlaku ini adalah detik permulaan untuk satu perubahan buat UMNO. Perubahan untuk memulih, menyusun dan seterusnya memperkukuhkan kembali UMNO selepas Barisan Nasional (BN) kalah pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang lalu.
Kini terpulanglah kepada 146,500 perwakilan UMNO seluruh negara untuk memilih barisan kepemimpinan yang akan membawa arus perubahan kepada UMNO. Ini bukan tugas mudah tetapi adalah satu amanah yang perlu dilaksanakan dengan jujur dan bertanggungjawab.
Sekiranya, perwakilan gagal melaksanakan amanah ini dengan baik, usah dihairankan sekiranya UMNO terkubur pada satu hari nanti. Perkara ini tidak mustahil berlaku apatah lagi jika masalah perebutan jawatan termasuk isu politik wang terus menjadi duri dalam daging.
Justeru, dalam soal memilih pemimpin ini, setiap perwakilan perlu mempunyai sikap integriti yang tinggi. Jangan mudah gelap mata sekiranya ada runner menawarkan duit sekian-sekian banyak daripada calon-calon tertentu.
Kalau berlaku, mana-mana perwakilan yang menerima tawaran itu wajib menolak pemimpin-pemimpin yang sebegini. Seperti kata seorang rakan yang merupakan ahli dan pejuang UMNO, pemimpin-pemimpin yang mengamalkan politik wang dalam UMNO seharusnya disingkirkan.
Sudah tiba masanya UMNO perlu dibersihkan daripada politik wang serta rasuah. Paling penting membebaskan UMNO daripada kumpulan pemimpin yang cenderung mengamalkan aktiviti kotor ini setiap kali pemilihan parti berlangsung. Kalam amat setuju dengan kata-katanya jika UMNO mahu dipulihkan luar dan dalam.
Berbalik kepada soal calon yang menawarkan diri, Kalam dan beberapa rakan lain yang sentiasa mengikuti perkembangan pemilihan parti mengakui mereka yang menawarkan diri mempunyai kekuatan tersendiri.
Malah bagi tiga jawatan tertinggi iaitu Presiden, Timbalan Presiden dan Naib Presiden, calon-calon yang menawarkan diri bukan calang-calang orang. Setiap daripada mereka mempunyai rekod pencapaian masing-masing untuk dinilai dan dihadam oleh perwakilan sebelum memutuskan siapakah pemimpin yang layak untuk dipilih.
Sebagai contoh untuk jawatan Presiden iaitu daripada tujuh yang menawarkan diri, fokus lebih tertumpu kepada saingan antara Naib Presiden UMNO yang menjalankan tugas-tugas Presiden, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi; Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah dan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin.
Begitu juga perebutan untuk jawatan Timbalan Presiden yang mana tumpuan pasti diberikan kepada saingan antara bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa.
Dalam pada itu untuk memperlihatkan lagi ketelusan dalam UMNO, apa kata setiap calon yang bertanding khususnya bagi peringkat tertinggi parti iaitu Presiden, Timbalan Presiden, Naib Presiden, MT sehinggalah ketua-ketua sayap diwajibkan membuat perisytiharan harta.
Bukan setakat mereka, bahkan keluarga terdekat seperti pasangan, anak dan adik-beradik juga perlu mengisytiharkan harta. Kalam yakin, jika cadangan ini dilaksanakan, ketelusan dan integriti dalam UMNO tidak akan dipersoalkan sebaliknya parti ini akan lebih dihormati oleh kawan dan lawan. Renung-renungkanlah.










