KUALA LUMPUR 25 Jun – Sebuah restoran yang sibuk dipenuhi pelanggan gempar apabila seorang bayi jatuh ‘dari langit’ di bahagian belakang restoran tersebut di Jalan Reko, Kajang, semalam.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kajang, Superintenden Mohd. Sabri Abdullah berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 5 petang itu, bayi lelaki terbabit didakwa dicampak dari tingkat atas bangunan tersebut.
“Bayi itu ditemukan pemilik restoran yang terdengar bunyi dentuman kuat di bahagian dapur restorannya.
“Dia kemudian terus membalut bayi itu dan membawanya ke klinik berdekatan untuk menjalani rawatan sebelum dihantar ke Hospital Kajang berikutan keadaannya agak kritikal,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.
Susulan kejadian itu, Mohd. Sabri berkata, pihaknya telah menahan seorang wanita warga asing di perkarangan Hospital Kajang kira-kira pukul 11.30 malam tadi.
“Suspek ditahan reman sehingga 1 Julai ini untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana membuang kanak-kanak atau bayi yang masih hidup,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE










