KUANTAN – Sebanyak 23 jalan utama di seluruh Pahang dikenal pasti sebagai ‘laluan panas’ yang sering berlaku kejadian kemalangan membabitkan kes kematian.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Pahang, Supritendan Kamarulzaman Jusoh berkata, antara laluan tersebut adalah Jalan Kuantan Bypass, Jalan Muadzam-Segamat, Jalan Raub-Lipis serta Jalan Lipis-Merapoh.
Sehubungan itu, beliau menambah, polis akan memberi tumpuan penguatkuasaan di semua kawasan terbabit sepanjang Ops Selamat dijalankan sempena musim perayaan Aidilfitri bermula 8 hingga 22 Jun ini.
“Di Pahang ada 23 laluan yang kita kenal pasti ini. Pecahan mengikut daerah memang kita sudah taklimatkan kepada semua ketua trafik daerah untuk memastikan rondaan yang lebih kerap di kawasan berkenaan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Operasi Bersepadu Sempena Hari raya Aidilfitri melibatkan anggota polis, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) di Terminal Kuantan Sentral malam tadi.
Dalam operasi itu, sebanyak 38 buah bas ekspres diperiksa ketiga-tiga agensi berkenaan dan sebanyak sembilan saman dikeluarkan JPJ ke atas syarikat bas ekspres kerana pelbagai kesalahan termasuk menggunakan tayar yang tidak selamat. – K! ONLINE











