Polis bongkar makmal proses heroin, rampas dadah bernilai hampir RM800,000 - Utusan Malaysia

Polis bongkar makmal proses heroin, rampas dadah bernilai hampir RM800,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR – Polis berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah jenis heroin selepas membongkar makmal memproses dadah yang disyaki beroperasi di sebuah rumah di Taman Gunung di sini sejak tiga bulan lalu.

Serbuan dilakukan Pasukan Khas Taktikal dan Risikan Narkotik (STING) Bukit Aman dan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik negeri di rumah sewa dua tingkat tersebut kira-kira pukul 2.45 pagi semalam.

Ketua Polis Kedah, Datuk Zainal Abidin Kasim berkata, dalam serbuan itu, pihaknya bertindak menahan dua lelaki terdiri daripada warga tempatan dan Singapura.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Hasil pemeriksaan menemui pelbagai jenis dadah serta bahan dan peralatan untuk memproses dadah di dalam sebuah bilik di rumah tersebut,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah di sini hari ini.

Kata beliau, lima jenis dadah yang ditemui adalah heroin seberat 9.99 kilogram (kg), syabu (5.94kg), 19,400 biji pil kuda (1.85kg), bahan asas heroin (1.48kg) dan ephedrine (10.8kg).

“Nilai keseluruhan dadah yang dirampas adalah RM784,590 dan kita turut menyita sembilan buah kenderaan, sebuah motosikal berkuasa tinggi, wang tunai serta barang kemas yang kesemuanya dianggarkan bernilai RM672,880,” ujarnya.

Menurut Zainal Abidin, pihaknya kemudian membuat tangkapan susulan di empat lokasi berasingan di sekitar perumahan awam Kuala Kedah dan menahan seramai enam lagi suspek. – K! ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini