Pogba penyelamat maruah Les Blues - Utusan Malaysia

Pogba penyelamat maruah Les Blues

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KAZAN 16 Jun – Prestasi ‘yo-yo’ Paul Pogba kebelakangan ini seakan telah pulih apabila pemain itu muncul penyelamat Perancis daripada berkongsi mata dengan Australia dalam perlawanan pembukaan Kumpulan C Piala Dunia 2018 yang menyaksikan skuad Les Bleus menang 2-1 di Kazan Arena hari ini.

Pogba sebelum ini dilihat seperti kurang berbisa sepanjang beraksi bersama Manchester United malah pemain tengah itu hanya menjaringkan 11 gol daripada 57 penampilannya bersama kelab Liga Perdana Inggeris itu sejak 2016.

Perancis yang merupakan pasukan ketujuh dalam ranking dunia, hampir diikat oleh Australia sebelum jaringan Pogba menjadi penyelamat buat juara dunia 1998 itu.

Gergasi Eropah itu adalah satu daripada pasukan pilihan dalam kempen Piala Dunia 2018 dan kemenangan tersebut membolehkan Les Bleus berada di landasan terbaik untuk muncul sebagai juara peringkat kumpulan.

Lebih menarik dalam perlawanan tersebut turut menyaksikan Video Bantuan Pengadil (VAR) berfungsi dengan sebaiknya apabila dapat menyelesaikan konflik sebelum gol pertama perlawanan terhasil yang membolehkan Perancis mendahului menerusi sepakan penalti pada minit ke-58.

Kekasaran yang dilakukan oleh pemain Australia, Josh Risdon dalam kawasan kotak penalti pada minit ke-57 membawa padah apabila menerima kad kuning manakala Perancis dihadiahkan sepakan penalti yang dimanfaatkan sebaiknya oleh Antoine Griezmann untuk menjaringkan gol pertama perlawanan.

Walau bagaimanapun, jaringan awal tersebut seakan tidak memberikan tekanan besar kepada Australia yang berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-62, juga menerusi sepakan penalti yang dijaringkan oleh Mile Jedinak.

Penalti tersebut dihadiahkan kepada Australia selepas pengadil perlawanan mendapati bola umpanan lintang terkena tangan pemain Perancis, Samuel Umtiti ketika dalam kawasan kotak penalti.

Kedudukan 1-1 menjadikan perlawanan lebih menarik dengan kedua-dua pasukan dilihat cuba menguasai bola terutama ketika perlawanan berbaki 20 minit.

Pada minit ke-80, Pogba muncul penyelamat Perancis apabila meledak gol kemenangan hasil rembatan kencang dari tengah kawasan gol selepas menerima umpanan daripada pemain gantian Olivier Giroud.

Kemenangan tersebut pastinya melegakan Perancis, yang empat tahun lalu disingkir oleh Jerman di peringkat suku akhir.

Skuad yang dibimbing oleh Didier Deschamps itu akan menentang Peru dalam perlawanan kedua mereka pada Khamis ini. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN