PM setuju siasatan bunuh Altantuya dibuka - Utusan Malaysia

PM setuju siasatan bunuh Altantuya dibuka

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bersetuju siasatan pembunuhan model kelahiran Mongolia, Altantuya Shaariibuu dibuka semula.

Peguam yang mewakili keluarga Altantuya, Ramkarpal Singh berkata, Dr. Mahathir telah menyatakan persetujuan terhadap perkara itu dan ia perlu dilakukan mengikut perutukan undang-undang negara.

“Perjumpaan dengan Perdana Menteri (Dr. Mahathir) hari ini amat bermakna kerana semua pihak berharap satu penyelesaian dapat dilakukan mengenai kes ini,” katanya pada sidang akhbar di pekarangan Bangunan Perdana Putra di sini hari ini.

Terdahulu, Ramkarpal bersama bapa kepada Altantuya Shaariibuu, Dr. Shaariibuu Setev mengadakan pertemuan bersama Dr. Mahathir di Pejabat Perdana Menteri selama kira-kira 30 minit.

Semalam, Ramkarpal mendedahkan pihaknya mempunyai bukti baharu berhubung kes pembunuhan berprofil tinggi itu ketika mengadakan pertemuan dengan Peguam Negara, Thommy Thomas.

Altantuya yang merupakan wanita kelahiran Ulan Bator dibunuh antara pukul 10 malam, 19 Oktober dan pukul 1 pagi, 20 Oktober 2006 di antara Lot 12843 dan Lot 16736, Mukim Bukit Raja, Klang.

Dua suspek pembunuhan itu, Sirul Azhar Umar dan Azilah Hadri dikenakan hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Persekutuan pada 13 Januari 2015 selepas membenarkan rayuan pendakwa raya yang tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Rayuan.

Pada 23 Ogos 2013, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan sebulat suara telah melepas dan membebaskan Sirul Azhar (tertuduh kedua) dan bekas anggota unit selam tempur UTK, Azilah Hadri (tertuduh pertama) selepas berpuas hati bahawa tidak selamat untuk mengekalkan sabitan dan hukuman gantung yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 9 April 2009. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN