PM New Zealand cuti bersalin enam minggu - Utusan Malaysia

PM New Zealand cuti bersalin enam minggu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUASANA di pekarangan Hospital Auckland City di Grafton, New Zealand pada tanggal 21 Jun lalu kelihatan lebih meriah berbanding pada hari biasa.

Hospital terbesar milik kerajaan New Zealand yang sebelum ini hanya dilawati pesakit dan kaum keluarga itu, dipenuhi sekumpulan pengamal media dari dalam dan luar negara.

Para wartawan bersedia dengan buku catatan pada tangan sejak awal pagi lagi. Begitu juga dengan jurufoto yang setia menanti bagi memastikan tiada momen terlepas daripada bidikan serta rakaman kamera.

Segala-galanya demi Jacinda Ardern, Perdana Menteri New Zealand yang ke-40 yang pada ketika itu sedang menunggu masa untuk melahirkan bayi pertamanya bersama pasangan, Clarke Gayford di tingkat sembilan hospital tersebut.

Tepat pukul 4.45 petang waktu tempatan, Ardern selamat melahirkan bayi perempuan seberat 3.31kg yang diberi nama, Neve Te Aroha Grayford.

Lakar sejarah

Berita kelahiran bayi itu menggembirakan warga New Zealand dan masyarakat dunia yang tidak putus-putus mengirimkan pesanan ‘selamat datang’ selain berkongsi keterujaan menerima kehadiran anak comel tersebut.

“Kesemua 4.693 juta penduduk di Negara Kiwi (New Zealand) kini telah menjadi ibu dan bapa saudara kepada Grayford,” kongsi seorang pengguna Twitter dari Australia, Zaichiska.

“Tahniah Ardern dan Grayford. Saya cadangkan anda namakan bayi itu sebagai Annie atau Annette jika anda gemarkan nama yang lebih panjang,” seloroh bekas pemimpin Parti Buruh New Zealand yang juga rakan baik Ardern, Dame Annette King dalam laman Facebooknya.

Kelahiran bayi popular itu telah menjadikan Ardern, 37, sebagai pemimpin kedua di dunia yang melahirkan anak ketika memegang tampuk pemerintahan negara selepas bekas Perdana Menteri Pakistan, Benazir Bhutto kira-kira 28 tahun yang lalu.

Ardern yang merupakan Perdana Menteri wanita termuda di dunia juga melakar sejarah apabila menjadi yang pertama mengambil cuti bersalin.

Sepanjang tempoh bercuti itu, tugas Perdana Menteri diambil alih oleh timbalannya, Winston Peters.

Terdahulu, Bhutto yang melahirkan anak keduanya, Bhaktavar Bhutto pada 21 Jun 1990 tidak mengambil cuti bersalin.

Bhutto dilaporkan kembali ke pejabat sehari selepas melahirkan anak secara pembedahan caeserean ekoran pergolakan politik yang berlaku di Pakistan pada ketika itu.

Ironinya, berbanding Bhutto yang mengambil keputusan untuk merahsiakan kehamilan sehingga tiba hari kelahiran, Ardern pula memutuskan untuk mengumumkan berita kehamilannya pada 18 Januari yang lalu iaitu kira-kira tiga bulan selepas dilantik menjadi Perdana Menteri.

Kritikan

Tindakan pemimpin Parti Buruh itu membawa kepada pelbagai maklum balas dan dijadikan bahan sentimen politik oleh pemimpin parti pembangkang negara yang terkenal dengan panorama alam semula tersebut.

Status tidak berkahwin antara beliau dan Grayford, seorang hos program televisyen, Fish of the Day menjadi antara isu yang dimainkan.

Selain itu, persoalan juga menjurus kepada kredibilitinya yang memegang jawatan penting itu ketika mengandung dan selepas melahirkan anak.

“Sepatutnya, Ardern memberitahu soal kehamilannya lebih awal atau sebaiknya sebelum dilantik menjadi Perdana Menteri agar rakyat boleh memilih orang yang lebih layak memimpin New Zealand.

“Ia adalah hak yang sama diberikan kepada para majikan untuk memilih pekerja yang kompeten dan tidak perlu mengambil cuti panjang dengan alasan mahu membesarkan anak,” tempelak seorang pengelola rancangan radio, Mark Richardson sejurus berita kehamilan Ardern diketahui.

Seorang pengguna Twitter, Kheili berpendapat bahawa Ardern sepatutnya membuat pilihan awal antara kerjaya dan anak sebelum mengambil alih jawatan daripada Andrew Little yang menarik diri tujuh minggu sebelum pilihan raya New Zealand pada tahun lalu.

Menariknya, kritikan sebegitu tidak sedikit pun menjejaskan Ardern.

Personaliti yang telah berkecimpung dalam arena politik sejak berusia 23 tahun itu mematahkan setiap kritikan yang dilemparkan terhadapnya dengan prestasi kerja yang baik sepanjang proses kehamilannya.

Tidak pernah dibatalkan walau sekali temu janji, lawatan waima sesi persidangan di Parlimen hanya kerana perutnya yang kian membesar.

Pada usia kandungannya tujuh bulan, Ardern bertemu dengan Ketua Negara Komanwel, Ratu Elizabeth II di Istana Buckingham, England bagi membincangkan mengenai hala tuju New Zealand di bawah pimpinannya.

Beliau juga komited melengkapkan jelajahnya ke lebih sepuluh negara di Eropah termasuk Jerman, dan Amerika Syarikat sebagai kunjungan rasmi setelah menjadi Perdana Menteri New Zealand yang baharu.

Tiga hari sebelum tarikh beliau dijadualkan melahirkan Grayford, Ardern masih berada di Parlimen untuk membahaskan isu terkini negaranya.

Mengulas mengenai kekuatan fizikalnya ketika hamil, Ardern menyifatkan beliau sebagai bertuah kerana bayi dalam kandungannya sangat ‘memahami’ dan ‘baik’.

Alahan

“Saya hanya mengalami alahan yang teruk pada awal kehamilan. Melangkaui dua bulan, alahan mula berkurang, sekali gus memudahkan pergerakan saya ke merata tempat. Mungkin bayi ini mulai faham tentang tugas ibunya yang agak sibuk.

“Namun, saya turut mengalami kesakitan pada bahagian tumit seperti kebanyakan ibu hamil yang lain ekoran kaki yang mula membengkak. Disebabkan itu, satu-satunya kebimbangan saya adalah jika kawasan yang dikunjungi itu mempunyai tangga,” kongsinya ketika ditemu bual AFP di Paris, Perancis baru-baru ini.

Dedikasi Ardern terhadap kerjaya membuktikan bahawa wanita tidak perlu memilih antara karier dan keluarga sebaliknya boleh mengimbangi keduanya dengan baik.

Paling menarik, komitmennya turut menambat hati penduduk New Zealand yang tidak menyokongnya dalam pilihan raya sebelum ini.

“Saya memang tidak menyukainya ketika beliau menjadi Perdana Menteri. Namun saya akui, beliau bagaikan hero yang menunjukkan bahawa tidak ada dilema antara menjadi seorang wanita dan ibu.

“Beliau juga memberi tamparan hebat kepada majikan yang tidak mahu mengambil pekerja wanita hanya kerana bimbang tentang kehamilan,” luah seorang ibu muda, Jessica.

Bukan itu sahaja, Ardern juga berhasil membawa aura baharu tentang konsep keibubapaan di negara itu kerana pasangannya, Grayford yang akan berada di rumah dan menjaga anak mereka sekembalinya beliau ke pejabat pada 2 Ogos nanti.

Keputusan enam minggu cuti bersalin yang diambil oleh Ardern juga mempunyai signifikan yang tersendiri terhadap masyarakat di New Zealand.

Kebiasaannya, ibu yang melahirkan anak di New Zealand akan mengambil cuti selama 18 minggu dan boleh memanjangkannya sehingga 52 minggu bagi setiap anak.

Ardern yang mengambil cuti hanya enam minggu itu mendapat banyak pujian dan dianggap sebagai inspirasi kepada wanita untuk kembali bekerja, sekali gus menghapuskan stigma wanita kaum yang lemah di New Zealand.

“Jika seorang Perdana Menteri boleh melakukan tugas saat sedang sarat hamil dan kembali bekerja dengan cuti yang pendek, mengapa saya tidak?” ujar Clarkson, warga New Zealand.

Jacinda Ardern melakar sejarah menjadi Perdana Menteri wanita pertama di dunia yang mengambil cuti bersalin selepas melahirkan seorang anak perempuan pada 21 Jun lalu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN