Pilih Presiden secara bijaksana, rasional - Utusan Malaysia

Pilih Presiden secara bijaksana, rasional

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG 18 Jun – Perwakilan UMNO perlu membuat penilaian bijaksana dan rasional dalam memilih calon terbaik bagi mengisi kerusi jawatan Presiden pada pemilihan parti akhir bulan ini.

Ketua Penerangan UMNO Bahagian Gua Musang, Mohd. Syahbuddin Hashim berkata, mereka perlu memilih pemimpin yang boleh ‘diharapkan’ bagi mengendalikan parti.

Katanya, pemilihan kali ini penting kerana bukan sahaja mengukuhkan parti tetapi juga mengangkat imej UMNO yang telah jatuh.

“Kita melihat peluang tujuh calon presiden ini adalah terbuka luas. Namun, semuanya terpulang kepada pihak yang akan memilih.

“Kita harus memilih presiden yang bukan saja membawa imej UMNO tetapi juga mewakili parti secara keseluruhannya,” katanya di sini, hari ini.

Mohd. Syahbuddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas berkata, calon Presiden juga haruslah berkaliber dan agresif untuk meneruskan kelangsungan parti.

“Sekiranya Presiden UMNO ini secara mudah boleh dipatahkan hujahnya oleh pihak lawan, kita yakin parti kita akan semakin layu.

MOHD. SYAHBUDDIN HASHIM
MOHD. SYAHBUDDIN HASHIM

“Setiap calon Presiden ada sokongan dan kelebihannya masing-masing,” katanya.

Dalam masa sama, beliau berlapang dada berhubung kenyataan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub yang menyatakan pendirian bahawa UMNO Kelantan menyokong Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sebagai Presiden.

Bagaimanapun, katanya, sebagai ahli UMNO beliau merasakan pengumuman itu tidak bersandarkan padangan akar umbi dan kehendak ahli UMNO Kelantan secara keseluruhannya.

“Saya maklum mungkin keputusan ini dibuat memandangkan Ketua Bahagian merasakan mereka mempunyai kuasa penuh di bahagian masing-masing.

“Saya kira ‘Zaman Ketua Tahu Semuanya’ sudah berakhir. Pandangan akar umbi dan kehendak sebenar pendokong parti perlu menjadi asas utama untuk satu keputusan penting.

“Dalam pemilihan kali ini, saya yakin Ketua Bahagian belum tentu kekal di kerusi masing-masing. Jadi, saya menyeru kepada semua perwakilan agar membuat pilihan tepat dan jujur demi kelangsungan parti,” katanya.

Buat pertama kali, UMNO menerima tujuh pencalonan untuk jawatan presiden pada pemilihan parti itu, akhir bulan ini.

Selain pemangku Presiden UMNO, Ahmad Zahid, Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah dan Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin mengesahkan akan bertanding jawatan presiden. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN