PILIH IDEA BUKAN USIA - Utusan Malaysia

PILIH IDEA BUKAN USIA

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH

“SAYA seribu kali underdog (bukan pilihan).” Begitulah reaksi Khairy Jamaluddin merendah diri berhubung peluangnya dalam pertandingan jawatan Presiden UMNO ketika ditemui di sebuah hotel di ibu negara Khamis lalu.

Meskipun ada pihak yang mengatakan Ahli Parlimen Rembau itu terlalu muda dan ada juga yang menuduh beliau sebagai tidak sabar, Khairy tidak kisah dengan semua itu.

Ini kerana beliau sudah lali dengan pelbagai tuduhan malah pernah “dipeti sejukkan” selepas menang jawatan Ketua Pemuda UMNO pada 2009.

Memuatkan artikel berkaitan…

Baginya, dalam keadaan UMNO sudah kehilangan kuasa, perubahan perlu dimulakan sekarang. 

Dengan usianya baru 42 tahun, Khairy menawarkan komitmen jangka panjang bagi melakukan perubahan terhadap UMNO yang mencerminkan hasrat rakyat Malaysia.

Bercakap kepada wartawan Mingguan Malaysia,  HAFIZAHRIL HAMID, ZULKIFLI JALIL dan AMIZUL TUNIZAR AHMAD TERMIZI, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO itu berharap beliau diberikan peluang oleh perwakilan untuk memacu perubahan parti.

“Pemilihan kali ini mesti mencerminkan suara rakyat, dan perwakilan mesti undi bukan hanya untuk UMNO tetapi memilih kepemimpinan yang boleh diterima oleh rakyat. ” Itu sangat penting,” katanya.
 

MINGGUAN: Pada awalnya Yang Berhormat (YB) mengumumkan mahu bertanding jawatan Naib Presiden. Kenapa tiba-tiba pula hendak bertanding Presiden?

KHAIRY: Dahulu memang saya hendak bertanding Naib Presiden tetapi kita kena ada kesungguhan untuk buat perubahan itu sekarang. Jangan ditangguhkan lagi. Mungkin Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Ku Li (Tengku Razaleigh Hamzah) juga cakap pasal perubahan tetapi perubahan yang ingin saya lakukan adalah komitmen jangka panjang.

Jadi perwakilan boleh pilih antara seorang yang menawarkan diri untuk berkhidmat untuk jangka masa tak terlalu lama, atau memilih penyandang ataupun memilih seseorang yang ada landasan yang panjang untuk buat pemulihan tersebut.

Saya berumur 42 tahun. Saya hendak memberikan komitmen jangka panjang. Bukan untuk jangka tiga tahun atau lima tahun untuk bawa perubahan. Biar perwakilan ada pilihan. Siapa sahaja dipilih sebagai Presiden, saya akan sokong walaupun bukan saya.

Yang kedua, ada yang cakap kepada saya; “You tunggulah dulu, mungkin dalam tiga tahun atau enam tahun boleh diketengahkan sebagai Presiden.” Tetapi bagi saya pemulihan UMNO perlu disegerakan. Tak boleh kita tunggu.

Kalau kita betul-betul menjadi parti yang terbuka, tidak ada lagi budaya feudal, budaya melindungi Presiden daripada kebenaran dan sebagainya, kita kena pecahkan segala budaya negatif itu sekarang juga.
Memang betul boleh bantu Presiden yang baharu sekiranya saya bertanding sebagai Naib Presiden tetapi untuk melakukannya, lain kalau kita Presiden. Kita boleh memacu perubahan tersebut.

Apakah YB pada awalnya kurang keyakinan untuk bertanding jawatan Presiden walaupun YB merupakan seorang pemimpin yang popular dalam kalangan rakyat Malaysia?

KHAIRY: Sebab DNA UMNO tunggu giliran, jangan potong lorong dan kekal dalam laluan kamu. Jadi, saya hendak meyakinkan mereka bahawa kebiasaan dalam UMNO sudah tidak relevan. Orang kata, buku peraturan politik UMNO sudah berubah secara total.

Menteri Besar Selangor, Amiruddin Shari berusia 38 tahun. Saya bukan hendak cakap soal usia tetapi maksudnya mesti ada kepelbagaian. Usia tak penting. Umur 93 tahun jadi Perdana Menteri okay, umur 38 tahun jadi Menteri Besar okay. Tua pun tak apa, muda pun tak apa.

YB mengatakan ini adalah pertandingan dalam keluarga. Mungkin akan ada yang terguris hati nanti. Bagaimana YB menangani perkara itu?
KHAIRY:
 Saya akan memastikan pertandingan ini adalah pertandingan keluarga. Dah digunakan istilah yang diperkenalkan oleh Datuk Ahmad Shabery Cheek. Ayah bertanding, abang sulung bertanding dan adik bongsu bertanding.

Saya pernah cakap dalam Facebook, saya kata biarlah ini pertandingan idea dan bukan pertandingan personaliti. Kalau pertandingan personaliti maka kita mulalah serang personaliti. 

Tapi biarlah ini pertandingan idea dan kita beri jaminan dan ikrar, siapa sahaja dipilih sebagai Presiden, kita akan sokong. Budaya gentleman ini mesti ada.

Antara idea saya, kita mesti ada pertandingan setiap tiga tahun dan pertandingan itu tidak boleh disekat.

Maknanya, Presiden dan timbalan Presiden, tidak boleh ada usul kata tidak bertanding.

Kita akan dapat menjaga perpaduan parti sekiranya budayanya adalah budaya  gentleman.  Bertanding dan selepas bertanding bersatu balik. Tidak ada terasa hati atau peribadi. Kalau ada budaya macam itu, UMNO akan jadi kuat.

Sebab Presiden ada kebertanggungjawaban setiap tiga tahun. Masalah yang kita ada hari ini sebab kita melindungi Presiden daripada pertandingan, tak bagi bertanding dan tak bagi kritik, jadi macam inilah hari ini.

Kalau setiap tiga tahun kita buka kepada semua, Presiden akan ada kebertanggungjawaban dan kita pun tidak akan rasa kecil hati.

Ramai orang di luar memerhatikan pemilihan UMNO kali ini dan mahu melihat parti itu membuang imej negatifnya. Apakah yang YB faham tentang imej negatif itu?

KHAIRY: Saya pernah sebut imej negatif UMNO. Ini adalah imej persepsi. Bongkak, sombong, gangster, buat kenyataan yang menyakitkan hati rakyat, budaya politik wang, budaya eksklusif maknanya UMNO untuk orang tertentu sahaja seperti bangsawan dan elit. Ini yang membuatkan orang menyampah dengan UMNO.

Kita perjuangkan bangsa tetapi kadang-kadang kita buat ucapan yang terlalu rasis dan mengguris hati orang lain. Kita buat kenyataan seksis yang merendahkan martabat wanita. Kita ingat buat lawak tetapi orang marah.

Bermula dengan pemilihan ini, kita mesti kikis persepsi bahawa pemilihan UMNO kotor, politik wang, serangan peribadi dan akan pecahkan parti.  Kita kena buktikan kepada rakyat bahawa budaya itu tidak lagi ada.

Selepas ini, Presiden mesti menunjukkan teladan yang baik. Sekiranya ada kenyataan daripada pemimpin atau ketua bahagian yang dominan pun,  berbentuk samseng dan mencetuskan kemarahan rakyat, tegurlah.
Kita kena ada disiplin yang kuat daripada Presiden untuk memastikan tidak ada lagi tanggapan seperti ini.

Pemilihan UMNO ini bukan hanya penting kepada ahli UMNO tetapi juga kepada rakyat Malaysia. Perwakilan mestilah mendengar suara  rakyat.  

Pemilihan kali ini mesti mencerminkan suara rakyat dan perwakilan mesti undi bukan hanya untuk UMNO tetapi memilih kepemimpinan yang boleh diterima oleh rakyat.

Cadangan YB mahu mewujudkan jawatan Naib Presiden untuk Sabah dan Wanita, tidakkah itu mungkin mencetuskan rasa tidak puas hati dalam kalangan ahli parti?

KHAIRY:   Sebab Sabah istimewa. Negeri-negeri di Semenanjung tidak membentukkan atau ada perjanjian Malaysia dan sentimen Sabah atau Sarawak, kita tengok sangat berbeza.

Yang negeri-negeri lain di Semenanjung ini adalah Persekutuan Malaya. Jadi suka atau tidak suka, sekiranya di peringkat kerajaan kita sudah beri autonomi kepada Sarawak dan Sabah, parti pun kena beri autonomi.

Maksudnya, saya janji kepada Sabah, mereka akan memilih sendiri Pengerusi Perhubungan UMNO negeri dan Naib Presiden peringkat kebangsaan.

Dasar UMNO diputuskan menerusi perbincangan dengan Presiden dan MT, tetapi UMNO Sabah mempunyai dasar sendiri.  Kita mahu UMNO Sabah untuk orang Sabah dan tidak lagi dilihat UMNO Sabah di bawah telunjuk Kuala Lumpur atau Malaya. Kita kena ada cara pemikiran baharu.

Wanita pun sama juga. Ada yang kata kenapa ada Naib Presiden Wanita kerana pangkat Ketua Pergerakan Wanita adalah Naib Presiden? Itu adalah jawatan ex officio. 

Dalam UMNO ada siling kaca bagi Wanita. Paling tinggi pun, mereka boleh pergi Ketua Wanita secara realitinya. Ada orang kata, tidak ada. Mereka boleh bertanding kalau hendak bertanding Naib Presiden. Bila pernah ada Wanita bertanding Naib Presiden?  Jadi, kita wujudkan Naib Presiden Wanita yang tidak terikat menjaga Pergerakan Wanita UMNO. 

Ketua Wanita jagalah hal wanita. Ini adalah wanita pemimpin nasional, yang boleh dipertimbangkan untuk menjadi timbalan perdana menteri serta timbalan Presiden, yang merasmikan mesyuarat UMNO bahagian dan bukan merasmikan mesyuarat Wanita bahagian.

Saya banyak keluarkan idea bukan sebab saya hendak tunjuk pandai tapi biarlah pemilihan ini adalah pemilihan idea. Takkan hendak pilih saya sebab usia saya? Takkan pilih Ku Li sebab pengalaman dan pilih Ahmad Zahid sebab penyandang? Mesti ada idea di belakang.

Mereka yang bakal memilih dalam pemilihan nanti rata-rata adalah golongan sudah berusia. Tidakkah faktor usia calon akan memainkan peranan penting dalam pemilihan Presiden nanti?

KHAIRY:  Mesej saya kepada senior dalam parti, saya kena bekerjasama dengan semua. Saya kena bekerjasama dengan ketua bahagian yang senior dan merupakan ayahanda, kekanda dan sebagainya. Tetapi berilah saya peluang.

Saya akan menjadi Presiden yang mendengar dan mengikut nasihat. Apabila hendak buat keputusan, saya akan buat keputusan. 

Tetapi lebih baik Presiden itu dalam keadaan hari ini berbanding Presiden yang masih lagi tidak boleh ditegur dan ada unsur-unsur feudal.

Kita hendak Presiden yang betul-betul bersama dengan kita dan boleh diberikan nasihat. Kita jangan lagi mengulangi zaman di mana Presiden diangkat menjadi seolah-olah ‘dewa politik’ yang tidak boleh disentuh, ditegur dan kita berasa segan untuk kritik.

Tengku Razaleigh dan Tun Musa Hitam pernah untuk cuba membawa perubahan dalam UMNO suatu ketika dahulu tetapi tidak berjaya. Apakah idea yang mahu dibawa oleh YB boleh diterima sekarang?

KHAIRY:  Mungkin mereka tidak berjaya kerana dalam keadaan kita masih berkuasa sebagai kerajaan. Sebab itu saya kata kita sudah kalah, tidak ada apa-apa lagi yang boleh kita hilang.

Kita sudah hilang kuasa. Jadi, lebih baik kita cuba benda yang kita tidak pernah cuba. Apa yang hendak takut sangat.
Saya orang parti. Saya faham perjuangan parti. Tetapi pendekatan saya berbeza sedikit sebab saya rasa saya tahu dan memahami kehendak kontemporari.

Sekiranya terpilih sebagai Presiden UMNO, bagaimana YB mahu menangani isu 1MDB kerana sudah tentu ia akan memberi kesan terhadap parti?

KHAIRY:  Kita kena letakkan garisan. Memang betul kita sokong Najib dahulu dan betul kita silap kerana tidak memberitahu beliau keadaan sebenar. Tetapi dari segi implikasi undang-undang, mesti dijawab oleh mereka yang terlibat.

Terpalitnya UMNO kerana menyokong Najib. Tetapi sekiranya ada kesalahan, itu mesti dijawab oleh mereka yang terlibat, bukan UMNO.

Mungkin UMNO boleh belajar daripada pengalaman  Parti Demokratik Liberal (LDP) di Jepun yang berjaya menang semula selepas kalah dalam pilihan raya?

KHAIRY: Kita sedang kaji. Ada benda yang boleh kita ikut dan ada benda yang mungkin perlu disesuaikan dengan konteks Malaysia. Ada perbezaan pengalaman LDP dan UMNO. 
Kita sedang mengkaji bukan sahaja pengalaman LDP tetapi juga parti-parti lain yang sudah lama terkeluar daripada kerajaan tetapi berjaya menang kembali seperti LDP dan Parti Buruh Britain.

Saya rasa cabaran bagi UMNO lagi meruncing dan sukar daripada parti-parti itu kerana kita sudah 60 tahun memerintah. Hendak jawab logik, BN sudah 60 tahun, bagi pula parti lain 60 tahun, kita perlu mencari bagaimana hendak menjawab logik itu.

Jadi, kita kena mula dengan menjadi pembangkang yang berwibawa. Sebelum berangan-angan hendak menjadi kerajaan alternatif, jadilah dahulu pembangkang yang berwibawa. 

Sebab itu, saya kata masuk Parlimen minggu depan, mesti ada Kabinet bayangan. Kalau saya jadi Presiden, saya akan susun menteri-menteri bayangan.

Barulah rakyat nampak. Bukanlah sangat  mereka mula suka, tetapi sekurang-kurangnya BN faham macam mana hendak main peranan semak dan imbang kepada kerajaan. 

Daripada situ, kita bina secara perlahan-lahan sampai suatu hari nanti mereka rasa pembangkang berwibawa ini boleh jadi kerajaan alternatif. Jadi, kita kena bersedia.

Undi pengundi bukan Melayu amat penting jika BN mahu menang dalam pilihan raya. Bagaimana BN mahu memenangi hati pengundi bukan Melayu?

KHAIRY: Saya rasa masyarakat Cina tidak akan dengan serta-merta kembali kepada BN. Mereka hendak lihat BN menerima keadaan yang kita sudah kalah. Mereka tidak mahu kita dalam keadaan menafikan kekalahan.

Apabila mereka nampak kita boleh memainkan peranan semak dan imbang dengan baik, akan ada yang datang kepada kita dan MCA boleh mula semula.

Sekarang ini, mereka sokong DAP tetapi tidak akan selama-lamanya mereka sokong DAP tetapi kita hendaklah menampakkan kita adil kepada semua.

Selama ini, mereka tidak boleh sokong BN kerana UMNO terlalu dominan.  Jadi, kita kena ada formula yang baharu. Bukan bermaksud UMNO mengalah tetapi formula yang lebih adil kepada semua.

Macam saya cakap tadi, tidak ada buku peraturan yang biasa dalam politik. Kita kena fikir di luar kotak.   

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini