JOHOR BAHRU – Seorang pesara kerajaan kerugian RM288,000 akibat ditipu sindiket Macau Scam selepas didakwa terlibat dalam kes dadah, penyeludupan, lari cukai serta pengubahan wang haram.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Abdul Wahib Musa berkata, lelaki berumur 62 tahun itu kerugian sejumlah wang berkenaan apabila melakukan beberapa transaksi pembayaran ke empat akaun sindiket berkenaan kononnya sebagai bayaran wang jaminan waran tangkap dan yuran guaman.
“Menerusi laporan polis yang dibuat pada pukul 12.30 tengah hari, Sabtu lepas (16 Jun), mangsa yang merupakan pesara Penolong Pegawai Perubatan di Pejabat Kesihatan negeri ini mendakwa dia menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai ‘pegawai kastam’ dari Alor Setar, Kedah pada 17 Mei lepas.
“Lelaki itu menyatakan mangsa telah melakukan kesalahan menyeludup iPad dari Thailand dan pihaknya (Kastam Alor Star) telah mengeluarkan waran mahkamah kepada mangsa kerana tidak membayar Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) berkaitan pembelian iPad tersebut,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Abdul Wahib berkata, bermula dari situ, mangsa mendakwa dia kemudian dihubungi dua wanita dan seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai anggota polis berpangkat Sarjan serta Inspektor dari Alor Star yang kononnya dapat membantu mangsa menyelesaikan masalah berkenaan. – Bernama










