KUALA LUMPUR 17 Jun – Kemajuan teknologi digital telah membawa kepada penubuhan syarikat ‘bengkel bergerak’ menggunakan aplikasi mudah alih pertama di Malaysia iaitu MisterTyre.
Ketua Pegawai Operasinya, Suman Mathevan berkata, perkhidmatan seperti itu sebenarnya telah lama terdapat di Eropah, namun tempahan dan pesanan dibuat melalui panggilan telefon.
Kata beliau, MisterTyre sedikit berbeza dan lebih berinovasi kerana setiap tempahan perlu dilakukan menerusi aplikasi telefon pintar dan bukannya melalui panggilan telefon.
“Idea penubuhan MisterTyre ini datang daripada pengasas dan rakan kongsi saya iaitu Dennis Melka yang berasal daripada Republik Czech, Eropah,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.
Syarikat berasaskan teknologi itu menawarkan sebanyak empat perkhidmatan servis buat kereta komersial iaitu penukaran tayar, minyak enjin, bateri serta penjajaran dan penggiliran.
Menurut Suman, MisterTyre telah memulakan operasinya sejak September tahun lalu dengan hanya sebuah van panel Ford Transit dan sehingga kini, telah berkembang kepada empat buah.
Beliau memberitahu, kelebihan utama MisterTyre adalah perkhidmatan tersebut sesuai bagi pelanggan yang sentiasa sibuk dan tidak mempunyai masa terluang untuk menyelenggara kereta.
“Kita akan menjalankan perkhidmatan mengikut kehendak pelanggan dari segi lokasi sama ada di rumah, pejabat atau mana-mana sahaja serta juga mengikut masa tempahan oleh pelanggan.
“Selain itu, kita melakukan pemeriksaan 12 titik percuma buat semua pelanggan dan menghantar peringatan seperti tarikh servis seterusnya, tamat tempoh lesen dan cukai jalan,” katanya.
Walau bagaimanapun Suman berkata, perkhidmatan tersebut buat ketika ini hanya boleh didapati di Lembah Klang, namun beliau sedang dalam rancangan untuk mengembangkan perniagaan itu.
“Kita merancang untuk memfrancaiskan perniagaan ini di Johor dan Pulau Pinang kepada sesiapa yang berminat, selain juga membuka cawangan di Amerika Syarikat pada tahun ini,” jelasnya.
Tambah beliau, bersempena dengan sambutan Hari Raya Aidilfitri, MisterTyre menawarkan pembaca Utusan Malaysia dengan diskaun eksklusif bernilai RM30 untuk setiap perkhidmatan.
“Pembaca hanya perlu memasukkan kod promo UTUSAN30 sebelum membuat sebarang bayaran untuk tempahan menerusi aplikasi MisterTyre yang sah sehingga 31 Julai ini sahaja,” ujarnya.










