ALOR SETAR 2 Jun – Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad hari ini tiba di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim, di sini pada kira-kira pukul 12 tengah hari tadi sempena siri lawatan kerja di Kedah.
Ketibaan beliau dan isteri, Tun Dr. Siti Hasmah Mohamad Ali dari Langkawi itu disambut Pengerusi Jawatankuasa Kewangan, Syarikat Milik Kerajaan Negeri, Industri dan Pelaburan serta Agama negeri, Datuk Ir. Amiruddin Hamzah serta barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Kedah.
Kehadiran Dr. Mahathir yang kali pertama ke Alor Setar selepas dilantik menjadi Perdana Menteri Ketujuh pada 10 Mei lalu turut disambut ratusan rakyat di negeri ini.
Sempena lawatan kerja ke negeri ini, Perdana Menteri dijangka menghadap Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah pada kira-kira pukul 2 petang ini di Istana Anak Bukit, di sini.










