PUTRAJAYA 9 Jun – Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad akan mengadakan lawatan kerja ke Tokyo, Jepun bermula esok hingga 12 Jun ini untuk menghadiri Persidangan Antarabangsa Tahunan Nikkei.
Kementerian Luar dalam kenyataannya berkata, semasa lawatan kerja itu, Perdana Menteri akan diiringi isterinya, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali dan pegawai-pegawai kementerian.
“Perdana Menteri akan menyampaikan ucaptama bertajuk Menjaga Keterbukaan Asia – Bagaimana Mencapai Kemakmuran dan Kestabilan yang merupakan tema Persidangan Antarabangsa Tahunan Nikkei kali ini.
“Sempena persidangan tersebut, Dr. Mahathir akan mengadakan perjumpaan dengan Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe,” kata kementerian itu dalam kenyataannya di sini hari ini.
Menurut kementerian itu, Perdana Menteri juga akan mengadakan pertemuan dengan beberapa entiti perniagaan seperti Dewan Perniagaan dan Industri Jepun, Pertubuhan Perdagangan Luar Jepun dan Persatuan Ekonomi Jepun – Malaysia.
Selain itu katanya, kehadiran Dr. Mahathir ke persidangan itu memberi peluang kepada Malaysia untuk terlibat dalam inisiatif-inisiatif untuk meningkatkan kerjasama ekonomi yang lebih luas antara negara-negara di rantau ini.
“Lawatan kerja ini juga membolehkan Malaysia mengetengahkan dasar-dasar kerajaan yang terkini kepada Jepun dan negara-negara serantau terutamanya mengenai pelaburan asing dan perdagangan.
“Ia juga memberi ruang kepada Malaysia untuk menyumbang serta berkongsi pengetahuan dan pengalaman dengan wakil-wakil kerajaan yang lain, tokoh-tokoh perniagaan dan pakar akademik rantau ini,” katanya.











