YEKATERINBURG, Rusia 20 Jun – Perancis berpeluang meletakkan diri mereka sebagai pasukan pilihan yang perlu ditewaskan apabila bertemu Peru untuk aksi kedua Kumpulan C Piala Dunia Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) 2018 di sini esok.
![]() |
|
PAUL POGBA menunjukkan kemahiran menimang bola dalam sesi latihan skuad Perancis, dia tetap menjadi sandaran ketika menentang Peru, hari ini. – AP
|
Ketika pasukan pilihan lain seperti Brazil, Sepanyol, Portugal dan Argentina hanya mampu seri malah ada yang kalah seperti Jerman, anak buah Didier Deschamps yang menang ke atas Australia 2-1 dalam aksi pertama bagaimanapun enggan mendabik dada.
Sebaliknya mereka menganggap kemenangan tersebut yang dibantu Video Pembantu Pengadil (VAR) belum cukup meyakinkan terutama dengan ketumpulan di bahagian serangan Perancis yang menggandingkan Antoine Griezman, Kylian Mbappe dan Ousmane Dembele.
“Kami ambil berat apa yang sudah baik dan apa yang belum. Kesemua pemain bersetuju kami masih perlu meningkatkan kekuatan fizikal dan perubahan sikap secara keseluruhan. Memang pasukan (pilihan) lain hanya seri malah ada yang kalah pun.
“Kami pula menang tetapi masih perlu ada yang diperbaiki lagi. Kami tahu ke arah mana kami perlu pergi,” kata penolong ketua pasukan Perancis yang juga pemain pertahanan, Raphael Varane.
Deschamps yang merupakan salah seorang pemain ketika Perancis muncul juara dunia pada 1998 sedar dia masih mempunyai pilihan lain yang lebih mantap dengan menurunkan seorang lagi penyerang berbisa, Olivier Giroud dalam kesebelasan utama.
Namun dalam waktu sama Varane tetap mempertahankan sumbangan Mbappe yang dianggapnya masih muda tetapi berbakat besar dan begitu bersemangat.
“Dia (Mbappe) baru berusia 19 tahun tetapi mampu beraksi di peringkat tertinggi yang mana banyak pemain seusianya belum mampu layak. Dia mempunyai bakat besar,” tegas Varane yang turut mempertahankan Paul Pogba ketika pemain tengah itu bergelut mengekalkan prestasinya.
Perancis perlu menang jika berhasrat layak lebih awal ke pusingan kedua kalah mati namun Peru yang tewas 0-1 kepada Denmark pada aksi pertama lalu sudah pasti tidak akan memberi laluan mudah untuk menghidupkan semula peluang mereka. – AFP












