Penularan surat Tengku Adnan, ini jawapan Annuar Musa - Utusan Malaysia

Penularan surat Tengku Adnan, ini jawapan Annuar Musa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 1 Jun – Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa enggan mengesahkan atau menafikan kesahihan surat Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor mengenai penamatan penyaluran peruntukan bulan ke semua bahagian dan cawangannya di seluruh negara yang tular di media sosial semalam.

Menurut Annuar ia adalah urusan dalaman parti dan beliau enggan mengulas mengenainya.

Surat yang bertarikh 22 Mei itu menyatakan peruntukan itu akan ditamatkan pada bulan tersebut namun demikian pihak Bahagian dan Pergerakan Sayap Bahagian diminta untuk meneruskan operasi seperti biasa.

Sejak tewas pada pilihan raya yang lalu masyarakat, khususnya ahli UMNO masih menunggu hala tuju parti berkenaan yang kini memikul tanggungjawab sebagai pembangkang.

Pada masa ini mesyuarat UMNO sedang berlangsung dan ia kurang mendapat liputan media seperti sebelum ini menyebabkan ramai yang gelisah.

Majlis Tertinggi UMNO telah menetapkan tarikh persidangan tahunan Cawangan dan Pergerakan sayap Wanita, Pemuda serta Puteri UMNO bermula Sabtu, 19 Mei 2018 sehingga Ahad, 10 Jun 2018 sementara di peringkat bahagian pada Sabtu, 30 Jun 2018.

Cawangan-cawangan boleh mengadakan persidangan tahunannya bila-bila masa antara tarikh berkenaan bersesuaian dengan Fasal 8.2 (Peraturan persidangan) iaitu cawangan-cawangan yang telah berdaftar pada atau sebelum 31 Disember 2017 serta telah memperolehi Sijil Pendaftaran Cawangannya sahaja yang layak mengadakan Persidangan Tahunan untuk 2018.

Persidangan ini dilaksanakan secara serentak dengan pemilihan parti sebagaimana makluman pekeliling yang diedarkan kepada semua 191 Bahagian UMNO termasuklah pergerakan sayap Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO.

Sementara itu Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor pula memaklumkan kepada semua ahli-ahli UMNO bahawa pendaftaran pencalonan untuk pemilihan UMNO bagi semua jawatan dalam parti akan bermula esok, 1 Jun 2018 (Jumaat).

Katanya, UMNO melaksanakan melalui konsep yang terbuka tanpa perlu melalui pihak yang lain.

“Tak payah orang nak calonkan dah. Semua jawatan di peringkat tertinggi kita tawarkan diri kita sendiri. Begitu juga di peringkat Bahagian sebagaimana saya di bahagian Putrajaya, saya akan isi borang dan saya hantar kepada Sekretariat Pemilihan Bahagian yang kemudian akan disemak dan menghantar ke Ibu Pejabat untuk menyemak kelayakan pencalonan.

“Begitu juga diperingkat pusat, kita ada jawatankuasa dan sekretariat pemilihan. Kita akan melihat borang-borang yang dihantar dan meneliti calon-calon yang menawarkan diri,” katanya dipetik UMNO ONLINE.

Untuk maklumat bagi pendaftaran pencalonan, terdapat tiga kaedah yang boleh digunapakai iaitu:

1. Pendaftaran secara online bermula 1 Jun 2018 (Jumaat) dan ditutup pada 17 Jun 2018 (Ahad).

2. Bagi mana-mana pendaftaran online yang tidak berjaya boleh membuat pendaftaran melalui Pejabat UMNO Bahagian.

3. Selain kaedah online, borang pendaftaran juga boleh dimuat turun dan dihantar ke Ibu Pejabat pada 17 Jun 2018 (Ahad) bermula 8.00 pagi sehingga jam 5.00 petang. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN