Pentagon tubuh ‘tentera angkasa lepas’ - Utusan Malaysia

Pentagon tubuh ‘tentera angkasa lepas’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON 19 Jun – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump me­ngarahkan Pentagon supaya menubuhkan ‘tentera angkasa lepas’ baharu yang bakal menjadi cabang keenam tentera negara ini.

Beliau berkata demikian ketika berucap di White House semalam.

“AS akan terus menjadi yang pertama di ruang angkasa lepas. Kita tidak mahu China, Rusia serta negara lain melebihi kami kerana kami sentiasa di hadapan.

“AS bakal mempunyai pasukan tentera angkasa lepas dan fungsi­nya sama seperti pasukan tentera lain di negara ini,” katanya.

Dalam pada itu, jurucakap Pentagon, Dana White memaklumkan bahawa pihaknya akan meneliti isu berkenaan memandangkan perkara tersebut memberi kesan terhadap operasi perisikan pasukan tentera darat, udara, marin dan laut.

Jelasnya, isu berkenaan bakal melibatkan pelbagai input daripada pelbagai pihak berkepen­tingan.

Selain itu, mewujudkan pasukan tentera baharu tidak boleh berlaku begitu sahaja kerana perlu mendapatkan kelulusan Kongres.

Setakat ini perincian mengenai pasukan tentera angkasa lepas itu masih belum dijelaskan.

Trump mula mengutarakan hasrat untuk terus mendominasi angkasa lepas sejak berkempen sebagai calon Presiden.

Katanya, usaha mempertahankan negara ini tidak cukup dengan hanya wujud kehadiran rakyat AS di angkasa lepas, sebaliknya perlu terus dominan di ruang tersebut.

Trump juga mengulangi ikrar­nya menghantar angkasawan ke Bulan untuk kali pertama sejak 1972 selain persediaan manusia ke Marikh.

Sektor komersial angkasa lepas AS semakin berkembang de­ngan Agensi Pentadbiran Angkasa Lepas dan Ae­ronautik (NASA) ber­alih daripada peranannya sebagai pelancar roket ketika era Apollo (1961-1972) kepada pelopor utama pene­rokaan angkasa. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN