Penilaian kesihatan mental perlu diperkenalkan - Utusan Malaysia

Penilaian kesihatan mental perlu diperkenalkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 20 Jun –Sistem penilaian kesihatan mental perlu diperkenalkan berikutan peningkatan pelbagai isu berkaitannya sejak kebelakangan ini termasuk melibatkan kesan dadah.

LEE LAM THYE

Ahli Majlis Penasihat Promosi Kesihatan Mental, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, sudah tiba masanya semua pihak memberi perhatian sewajarnya bagi menangani masalah kesihatan mental secara serius dan mencari jalan untuk mengenal pasti mangsa selain merujuk individu terbabit kepada pakar psikiatri atau ahli psikologi.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Pembangunan indeks penilaian psikologi boleh dilaksanakan oleh Kementerian Kesihatan dan hasil tersebut boleh digunakan untuk membantu pihak terbabit merancang program berterusan bagi tangani isu kesihatan mental di negara ini.

“Kita tidak seharusnya mengenepikan pembangunan kesihatan mental dengan usaha menjadikan Malaysia sebuah negara maju, isu penyakit mental ini boleh disifatkan sebagai ‘bom jangka’ jika tidak ditangani secara berkesan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas kejadian tragis yang menyaksikan seorang ibu muda berusia 31 tahun yang didakwa mengelar leher anaknya sendiri sehingga mengakibatkan bayi 19 bulan itu meninggal dunia di rumahnya di Felda Jengka 13, Maran, Pahang, kelmarin.

Mengulas lanjut, Lam Thye berkata, ramai dalam kalangan masyarakat hari ini masih tidak sedar kepentingan pembangunan kesihatan mental walaupun pakar perubatan memberi amaran penyakit tersebut bakal menjadi masalah kesihatan kedua terbesar di negara ini selepas masalah jantung menjelang 2020.

Kajian Kesihatan dan Morbiditi 2016 menunjukkan kira-kira 4.2 juta rakyat di negara ini berusia 16 tahun ke atas atau 29.2 peratus populasi negara menghidapi pelbagai masalah mental dan peratusan itu menunjukkan peningkatan sebanyak 11.2 peratus berbanding 2006.

Katanya, lebih membimbangkan masalah tersebut turut melibatkan pelajar kerana nisbah mereka yang menghidapi masalah mental telah me­ningkat dari satu dalam 10 orang pada tahun 2011 kepada satu daripada lima orang pada tahun 2016.

“Saya percaya jika kajian lebih menyeluruh dibuat pada masa ini jumlah yang mengalami masalah mental semakin me­ningkat dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini,” katanya.

Dalam masa sama, beliau turut menyarankan supaya orang ramai mengubah stigma terhadap mereka yang menghadapi masalah mental kerana sering dianggap sebagai ‘orang gila’.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini