DUNGUN – Seorang peniaga maut selepas kereta Proton Wira yang dipandunya terbabas sebelum merempuh sebatang tiang elektrik di Kilometer 12, Jalan Pasir Raja berhampiran Kuala Jengal dekat sini semalam.
Dalam kejadian pada pukul 3.30 petang itu, Tengku Mohd. Ali Tengku Jaafar, 43, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala dan beberapa anggota badan.
Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah berkata, sewaktu kejadian, Tengku Mohd. Ali dalam perjalanan ke kedainya di Jengok Batu dekat sini dari rumahnya di Kampung Pasir Raja dekat sini.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, kereta Proton Wira yang dipandu mangsa bersendirian tiba-tiba hilang kawalan sebelum terbabas lalu merempuh sebatang tiang elektrik yang terletak di bahu jalan.
“Rempuhan itu menyebabkan kereta tersebut remuk teruk sehingga menyebabkan mangsa tersepit di tempat duduk pemandu,” katanya kepada Kosmo! di sini hari ini. – K! ONLINE









