Pengalaman di lebuh raya - Utusan Malaysia

Pengalaman di lebuh raya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,
SAYA ada terbaca satu artikel bertarikh 8 Jun 2018 dalam ruangan Forum ditulis oleh ‘Pemandu Prihatin, Shah Alam’.

Saya bersetuju dengan pandangan beliau dan di sini saya akan bercerita sedikit pengalaman saya dan memberi pandangan.

Saya telah menggunakan Lebuh Raya Persekutuan sejak tahun 1976 dan kalau tidak silap saya ini adalah lebuhrraya pertama di Malaysia dan ia telah dibina dengan cukup kemas infrastrukturnya.

Memuatkan artikel berkaitan…

Pada tahun 1977 saya telah menunggang motosikal dari arah Brickfields menghala ke Petaling Jaya menggunakan lebuh raya ini.

Sebelum sampai RTM Angkasapuri saya ditahan oleh kereta peronda polis jenis Alfa Romeo Julia.

Anggota polis itu marah dan hendak menyaman saya. Saya bertanya apakah kesalahan saya. Mereka memberitahu yang saya tidak menggunakan laluan motosikal dan adalah menjadi kesalahan menunggang di atas lebuh raya. Saya minta maaf berkali-kali sebab saya memang tidak tahu dan saya kemudian diberi amaran.

Apa yang hendak diperkatakan di sini adalah, sejak beberapa tahun kebelakangan ini amalan penggunaan laluan motosikal ini sudah seolah olah tidak wujud.

Persoalannya:

* Adakah undang-undang menunggang motosikal di lebuh raya tidak lagi menjadi kesalahan?

* Atau adakah pihak berkuasa merasa muak mahu jalankan operasi atau memberi saman kerana terlalu ramai penunggang motosikal yang tidak patuh arahan.

* Mungkin kurangnya papan tanda yang memberi arahan yang penunggang motosikal ‘WAJIB’ guna lorong motosikal.

 

Di sini saya ingin sarankan Saudara Pengarang buat tinjauan di lebuh raya berkenaan dan saya pasti gejala seperti ini akan ditemui tetapi perlu diingatkan bukan semua penunggang bersikap begini:

* Menunggang dengan kelajuan tinggi tanpa mengira pengguna jalan raya lain dengan bahasa ‘rock’ mereka cilok kiri cilok kanan.

* Penunggang ini akan membunyikan hon yang kuat dan berpanjangan seandainya kereta di depannya berubah arah ke kiri atau kanan, walaupun lampu isyarat sudah diberi.

* Sering juga kira dapati yang kumpulan penunggang motosikal ini bersaing sesama sendiri seolah-olah bercerita di kedai kopi. Apabila kita bunyi hon sama ada mereka tidak peduli atau menunjukkan isyarat lucah.

Kadangkala kita tertanya-tanya adakah mereka ini tidak ada kesedaran sivik? Kita tidak tahu yang memandu kereta ini ada penyakit jantung atau darah tinggi. Mungkin yang memandu kereta ini bersama anak-anak yang sedang membesar. Apabila penunggang menunjukkan isyarat lucah apa perasaan mereka? Mana maruah ibu bapa mereka?

Itulah dia sedikit sebanyak kisah penunggang motosikal di Lebuh Raya Persekutuan.

Hanya perlu diingat kepada pihak berkuasa supaya menjalankan tugas sebaik mungkin.

WARGA TUA PRIHATIN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini