SENARAI nama mereka yang dicalonkan untuk bertanding dalam pemilihan UMNO sudah pun diumumkan semalam. Siapa yang terlibat bukan menjadi rahsia umum, namun pemilihan kali ini bukan soal siapa terpilih atau siapa yang menang mahupun kalah, lebih penting daripada itu ia bertujuan menyusun satu pasukan atau barisan kepemimpinan yang mampu membangkitkan semula UMNO untuk terus berjuang dalam persada politik tanah air.
Jika mengkaji pandangan dan komen dalam laman-laman sosial kita perlu mengakui terlalu ramai yang tidak menaruh harapan untuk UMNO bangkit semula, malah ada antara mereka melihat kekalahan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) bukan sahaja mengakhiri pemerintahan BN tetapi juga meletakkan perjalanan politik UMNO bagaikan ‘telur di hujung tanduk’, tetapi itu hanya andaian.
Faktanya keputusan PRU-14 membuktikan UMNO merupakan parti tunggal yang memperoleh kerusi terbanyak di Dewan Rakyat iaitu 54 kerusi. Bagaimanapun UMNO gagal untuk terus memerintah disebabkan kegagalan komponen-komponen BN yang kini mula menunjukkan wajah sebenar mereka.
Dan satu lagi fakta yang tidak harus dilupakan UMNO menguasai 35 peratus hingga 40 peratus undi orang Melayu manakala Pas menguasai 30 peratus hingga 33 peratus. Statistik ini dibentangkan oleh Merdeka Center yang turut memaparkan 95 peratus pengundi Cina mengundi Pakatan Harapan manakala 70 peratus hingga 75 peratus pengundi India menyebelahi pakatan tersebut.
Oleh itu, UMNO tidak perlu berasa kecewa apatah lagi terperangkap dengan pandangan sempit sesetengah pihak kononnya orang Melayu turut menolak parti keramat Melayu tersebut. Statistik berkenaan membuktikan UMNO mampu bangkit dalam pilihan raya umum akan datang dengan syarat memastikan barisan kepemimpinan yang dipilih benar-benar mencerminkan apa yang dimahukan oleh orang Melayu.
Sama ada UMNO mampu bangkit atau tidak, ia kini bergantung kepada 146,500 perwakilan yang akan terlibat secara langsung memilih kepemimpinan bahagian dan Majlis Tertinggi. Mereka perlu membuat penilaian sebijak-bijaknya kerana keputusan yang dibuat kali ini bukan soal memperkukuhkan kedudukan mana-mana individu dalam parti sebaliknya demi survival politik UMNO.
Setiap calon yang bertanding ada rekod tersendiri. Kaji dan pilihlah dengan meletakkan kepentingan parti mengatasi segala-galanya. Janganlah melakukan tindakan yang boleh dilihat memenuhi impian individu dan pihak tertentu untuk melihat UMNO tidak boleh bangkit semula.
Apa yang berlaku dalam PRU-14 sememangnya perit, tetapi ia bukannya untuk diratapi hingga akhir hayat. Pemimpin dan ahli-ahli UMNO perlu mempunyai semangat untuk melakukan perubahan dan mempertingkatkan usaha untuk kembali berkuasa.
Faktanya orang Melayu masih bersama UMNO sebab itulah UMNO boleh memperoleh kerusi terbanyak berbanding parti-parti lain dalam PRU-14. Jangan hiraukan kecaman, kritikan dan maki hamun kepada UMNO oleh sesetengah orang Melayu termasuk individu yang suatu ketika mengecapi pelbagai nikmat hasil perjuangan UMNO.
UMNO perlu meneruskan perjuangannya dan tidak boleh lagi apologetik dalam mempertahankan kepentingan orang Melayu dan umat Islam. Anggaplah apa yang berlaku ketika PRU-14 sebagai iktibar dan peringatan daripada Allah SWT serta mempunyai hikmahnya tersendiri bagi membolehkan UMNO ‘dilahirkan semula’ dalam keadaan lebih sempurna dan ampuh.
Bagi merealisasikan impian itu, ahli-ahli UMNO yang layak untuk memilih barisan kepemimpinan pada 30 Jun ini perlu memikirkan semasak-masaknya. Mereka perlu yakin kepada perjuangan UMNO dan bukannya terus bermuram durja dengan apa yang berlaku.
Jika ada antara mereka kerana dihantui perasaan kecewa sanggup mencampakkan undi kepada Pakatan Harapan ketika PRU-14 anggaplah pemilihan parti sebagai platform untuk mereka ‘menebus kesilapan’ tersebut. Sekurang-kurangnya barisan kepemimpinan sudah mendapat mesej bahawa perubahan yang perlu dilakukan bagi memastikan ahli-ahli tidak kecewa dengan parti.
Penulis sentiasa yakin UMNO mampu bangkit semula. Kekalahan yang dialami dalam PRU-14 lalu adalah ‘ubat pahit’ yang mahu tidak mahu harus ditelan untuk mengubati ‘penyakit’ yang mungkin sudah lama berada pada tubuh parti harapan orang Melayu itu.
Selain itu, penulis juga percaya tidak kira siapapun mereka, setiap seorang yang menawarkan diri apa juga jawatan dalam parti pada pemilihan kali ini pasti mempunyai keyakinan dan perasaan sayang kepada UMNO. Namun begitu biarlah keputusan untuk bertanding dibuat dengan penuh keikhlasan demi survival parti dan bukannya mempunyai hasrat tersembunyi lain.
Percayalah, jika hasrat kita bertanding semata-mata niat ikhlas kerana Allah demi memperjuangkan nasib bangsa, agama dan negara, ia sudah tentu akan diberkati dan sekali gus akan membantu UMNO untuk meneruskan perjuangan di persada politik tanah air.
Pedulikan apa juga kecaman oleh parti-parti lawan apatah lagi kalau datang daripada parti-parti yang dipimpin oleh orang Melayu tetapi menang disebabkan sokongan pengundi-pengundi bukan Melayu. Kecaman dan kritikan mereka kepada UMNO semata-mata tidak mahu melihat UMNO bangkit semula, itu sahaja.
Mereka bimbang jika UMNO berupaya memperbaiki kelemahan dan menyusun barisan kepemimpinan yang mantap, ia sudah tentulah akan menjadi petaka politik kepada mereka dalam pilihan raya umum akan datang. Oleh itu, pilihlah barisan terbaik dalam kalangan yang baik-baik bagi ‘menutup keceluparan’ pihak-pihak tertentu yang mahu melihat UMNO berkubur.










