KUALA LUMPUR 24 Jun – Penduduk di Taman Hillview di sini mahu tinggalan pangsapuri Highland Tower yang runtuh dalam kejadian 25 tahun lalu dirobohkan selepas menjadi sarang penagih dadah dan maksiat.
Tinjauan Utusan Malaysia di lokasi mendapati dua blok kediaman setinggi 12 tingkat yang dikosongkan selepas tragedi pada 11 Disember 1993 itu masih lagi ‘berpenghuni’ sehingga menimbulkan keresahan penduduk sekitar.
Walaupun sudah dipagar dan dikunci, pemerhatian di laluan masuk ke pangsapuri itu menemui tanda-tanda pencerobohan seperti sisa bekas makanan, puntung rokok dan ‘jalan-jalan tikus’ di kawasan semak berhampiran.
Penduduk, Abdul Rashid Hassan, 57, berkata, kewujudan dua blok yang terbiar itu bagaikan syurga bagi penagih dadah, penjenayah dan kaki maksiat yang menjadikan pangsapuri itu tempat persembunyian.
“Sampai bila kita nak pelihara tempat ini sebagai sarang maksiat. Sudah lama ia menjadi sarang penagihan dadah, tempat orang melampiaskan nafsu dan berkhayal.
“Kerajaan perlu lakukan sesuatu untuk membersihkan tempat ini kerana penduduk tidak tahu apa sebenarnya yang berlaku di dalam sana,’’ katanya kepada Utusan Malaysia, baru-baru ini.
Pekerja swasta, Fajar Arsyad, 28, berkata, usaha pihak berkuasa mengunci kawasan itu gagal menghalang pencerobohan kerana ada yang sanggup meredah kawasan semak untuk masuk ke situ.
Katanya, selain menjadi sarang maksiat, lokasi itu juga sering dikunjungi generasi muda yang mahu meneroka sisa-sisa tinggalan pangsapuri itu atas pelbagai tujuan.
“Ketika kebanyakan orang cuba menjauhi lokasi itu kerana sering dikaitkan dengan bermacam-macam misteri, ada generasi muda memilihnya sebagai tempat penerokaan dan menguji keberanian.
“Cuma saya rasa jika ada pemantauan dilakukan secara lebih ketat, pencerobohan mungkin dapat dihalang kerana laluan keluar masuk ke perumahan ini ada pengawal,’’ katanya.
Sementara itu, Muhd. Arif Yusri, 24, berkata, kerajaan perlu menyelesaikan masalah yang sekian lama ditanggung penduduk di kawasan itu kerana ia berkait dengan soal keselamatan dan keselesaan penduduk.











