Pemimpin dan kepemimpinan dari sudut akal budi Melayu - Utusan Malaysia

Pemimpin dan kepemimpinan dari sudut akal budi Melayu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Tiada wilayah atau kawasan atau negara yang tiada pemimpin, tiada pemimpin jika tidak ada rakyat, tiada kepemimpinan tanpa ketaatan atau sokongan. Ungkapan ini adalah adaptasi daripada kata-kata Syaidina Umar r.a.: “Tiada Islam tanpa jamaah, tiada jamaah tanpa kepemimpinan, tiada kepemimpinan tanpa ketaatan.” 

Alam Melayu mempunyai sejarah, falsafah, pemikiran, emosi, pelakuan dan gaya hidup yang mengamalkan adab dan adat serta nilai-nilai tersendiri dan ada juga nilai universal dalam memilih dan menentukan kepemimpinan. Semua ini dirangkum dalam akal budi Melayu.    
Sejarah dan falsafah termasuk Islam tidak dapat dipisahkan daripada alam Melayu apabila kita berbicara tentang memilih pemimpin. Pentas Sunda di mana terletaknya alam Melayu yang merupakan tempat asal usul rumpun Melayu ini menuntut kepemimpinan alam Melayu haruslah berpaksikan kepada pemimpin dan kepemimpinan orang Melayu.

Dominasi kuasa

Dalam Wacana Cendekiawan Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) pada 19 April 2018 di Universiti Kebangsaan Malaysia bertajuk Kelangsungan Kuasa Politik Melayu di Pentas Sunda, wacana itu merumuskan bahawa oleh sebab Malaysia adalah antara negara utama dalam alam Melayu, justeru kelangsungan kuasa politik Melayu haruslah dihormati dan diberikan haknya. Dalam erti kata lain, kuasa politik di Malaysia mestilah ditunjangi oleh kepemimpinan Melayu dalam Pentas Sunda. Orang rumpun Melayu adalah hos kepada Pentas Sunda, maka layaklahlah mereka yang mendominasi kuasa politik alam Melayu. 
Kehebatan kepemimpinan Melayu sudah terbukti dalam prasejarah dan pascasejarah Melayu, iaitu sebelum dan selepas wujudnya kerajaan Islam Melaka. Malah, dalam sejarah dan tamadun alam Melayu, terdapat bukti menunjukkan kerajaan Islam Patani yang didasari oleh orang Melayu Islam juga telah menyerlahkan kehebatan kepemimpinan Melayu.
Kepemimpinan yang baik bermula dengan individu pemimpin yang baik. Pemimpin Melayu Islam yang baik harus memiliki tiga ciri utama iaitu akidah, quwwah dan amanah.
Akidah membawa maksud kefahaman tauhid yang jitu dan jelas bahawa Allah adalah Maha Berkuasa, Maha Pemberi Rezaki, Maha Pelindung, Maha Mengetahui dan Maha Perkasa. Allah menjadi rujukan dalam mengurus dan mentadbir dunia. Pemimpin Melayu Islam yang baik ialah yang meletakkan kepentingan akidah mengatasi kepentingan lain; menerima dan menghayati Islam yang syumul sebagai cara hidup, memulihara akidah ummah, serta melaksanakan peraturan dan urusan hidup yang digariskan oleh Islam. 
Quwwah bermaksud kekuatan fizikal, jiwa dan ilmu. Sihat tubuh badan, sempurna anggota dan bertenaga adalah salah satu kelebihan pada pemimpin Melayu Islam yang baik. Kekuatan jiwa yang dicirikan ke atas pemimpin ialah tabah, cekal, berani, berkorban, berwibawa dan bersungguh dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai pemimpin. Ini adalah dituntut oleh Islam. 
Kemampuan berucap dengan baik, menangani konflik serta mengurus dan mentadbir negeri juga dituntut untuk menjadikan pemimpin dan kepimpinannya cemerlang. 
Malah, kekuatan ilmu dalam bidang yang tertentu yang digandakan dengan tahap pendidikan yang lebih tinggi adalah satu aset bernilai di atas diri seseorang pemimpin Melayu Islam. Aristotle menggunakan terma ‘ethos’ bagi menggambarkan kekuatan diri seseorang pemimpin dan kepimpinannya.

Amanah

Ciri ketiga bagi pemimpin Melayu Islam yang baik ialah amanah yang membawa maksud jujur, ikhlas, bercakap benar, bertanggungjawab, dedikasi, berintegriti, pemurah dan komited. Semua ini adalah antara ciri yang harus ada pada pemimpin Melayu Islam. Kalau pun ciri-ciri ini adalah universal kepada mana-mana pemimpin dunia yang baik, asas kepada amanah adalah akidah yang jelas serta menghubungkan manusia dengan Allah.
Jika salah satu ciri-ciri ini dipisahkan daripada tiga ciri utama ini, maka cacatlah pemimpin dan kepimpinannya kelak. 
Menterjemahkan akal budi Melayu dalam memilih pemimpin boleh dilihat pada pantun yang masyhur:

Jika memilih tempat mandi,
Pertama teluk kedua pantai;
Jika memilih pemimpin negeri,
Pertama elok kedua pandai.
‘Elok’ itu bukan sahaja pada sifat fizikal yang sempurna tetapi juga akhlak pemimpin. ‘Pandai’ itu ilmu dan kemahiran sesuai yang harus ada pada pemimpin bagi melaksanakan tugasnya dengan lebih baik. Dalam tiga ciri utama digariskan di atas, ciri ilmu mempunyai hubungan langsung dengan bijak dan pandai.
Almarhum Pak Tenas Effendy menulis satu kelompok ungkapan mengenai memilih pemimpin dengan menekankan persoalan ‘bijak’ atau berilmu sebagai salah satu kriteria yang akan mencorakkan pemikiran, emosi, pelakuan, dan gaya hidup yang terangkum dalam akal budi Melayu. Antaranya:

Pilih pemimpin biar yang bijak,
Tindak-tanduknya jarang terlajak.

Pilih pemimpin biar yang bijak,
Fikirannya jitu tidak merojak.
 
Pilih pemimpin biar yang bijak,
Tidak menindas tidak memijak.

Pilih pemimpin biar yang bijak,
Cakapnya tetap jarang menganjak.

Pilih pemimpin biar yang bijak,
Banyak gunanya bagaikan tajak.
 
Melihat kepada ungkapan ini, kita dapati bahawa memiliki ilmu sahaja tidak memadai pada pemimpin jika tidak tahu menggunakan kebijaksanaan atau hikmah (wisdom) dalam kepimpinannya dan jika tidak memililki akhlak yang terpuji. 
Pemimpin Melayu Islam yang mempunyai ijazah yang tinggi, tetapi suka menipu, mengamal rasuah, menindas, zalim, rakus, sombong dan salah guna kuasa adalah pemimpin yang bahaya kepada rakyat dan negara. 
Kesimpulannya, pemimpin Melayu Islam yang baik akan membawa kepada kepemimpinan yang terpuji untuk kepentingan rakyat dan negara dan bukan untuk kepentingan satu-satu kelompok kaum atau parti politik tertentu sahaja. Kuasa politik Melayu seharusnya menjadi paksi di negara ini khususnya dan di alam Melayu amnya, sementalah Malaysia memang berada di Pentas Sunda ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN