BAGAN DATUK 29 Jun – Pemilihan UMNO kali ini menterjemahkan sepenuhnya demokrasi tulen yang sudah terpinggir sejak 30 tahun apabila dua jawatan tertinggi parti dipertandingkan.
Calon Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, sejak tahun 1988 jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan namun keadaanya berbeza pada pemilihan kali ini.
Ahmad Zahid yang merupakan Naib Presiden UMNO yang menjalankan tugas-tugas Presiden berkata, apabila mendengar suara akar umbi supaya jawatan tertinggi dipertandingkan, beliau membawa perkara itu ke Majlis Tertinggi.
Kata beliau, apabila semua jawatan terbuka untuk dipertandingkan kemeriahan pemilihan UMNO kali ini dirasai di peringkat akar umbi dan nasional.
Beliau berkata, sehubungan itu pemilihan setiap tiga tahun sekali tidak harus ditangguhkan dalam menterjemahkan proses demokrasi.
“Biarpun piagam dan perlembagaan kita mengizinkn untuk penangguhan pemilihan parti selepas 18 bulan tapi untuk mencambahkan bakat-bakat dan kepimpinan yang baharu maka kita harus beri peluang kepada tokoh-tokoh baharu terutama dalam kalangan generasi muda, Wanita dan Puteri.
“Mereka perlu bersama-sama menggarap sokongan semula daripada rakyat dan kita hap dengan kaedah ini, ia akan merakyatkan semula UMNO,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas program Debat Presiden UMNO 2018 yang disiarkan secara langsung di Astro Awani dari Bangunan UMNO Bagan Datuk, di sini malam tadi.
Ahmad Zahid berkata, UMNO juga perlu membuka ruang dan peluang seluas-luasnya kepada golongan profesional Melayu untuk terlibat dalam penentuan dasar-dasar parti.
Menurutnya, UMNO juga harus melihat tiada lagi hulubalang politik atau warlord yang cuba menyekat ahli baharu untuk menyertai peringkat cawangan atau kepimpinan bahagian.
“Ini dilakukan supaya diri sendiri tidak ditandingi atau sebagainya dan kita harus keluar dari kepompong ini,” katanya.
Mengenai pemilihan esok, Ahmad Zahid berkata, beliau telah menyatakan 15 manifesto dan yakin jika diberi mandat sebagai Presiden, beliau akan meneruskan kepimpinan
UMNO dengan pelbagai pembaharuan.
“Jika diberi mandat sebagai Presiden, saya akan merangkumkan mereka yang kecundang atau yang tidak terpilih dalam pemilihan kali ini namun mereka berhasrat untuk bersama-sama UMNO,” katanya. – UTUSAN ONLINE











