PUTRAJAYA 29 Jun – Kementerian Pendidikan akan melaksanakan perpindahan enam Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) serta meneliti secara objektif mengenai pembinaan 10 SJKC baharu berdasarkan situasi kewangan semasa dan isu-isu ketelusan.
Menterinya, Dr. Maszlee Malik berkata, bagaimanapun, pembinaan dua sekolah SJKC yang melakukan proses pecah tanah akan terus dijalankan.
“Terima kasih saya ucapkan kepada Pengerusi Majlis Perundingan Pendidikan Cina Malaysia, Wee Ka Siong atas keprihatinan beliau dalam perkara ini.
“Namun, hal pembinaan sekolah baharu adalah berdasarkan kepentingan na- sional dan ini merupakan keputusan rasmi kementerian,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Majlis Perundingan Pendidikan Cina Malaysia semalam memohon Kementerian Pendidikan meneruskan projek pembinaan 10 SJKC baharu dan pemindahan enam SJKC seperti yang diluluskan oleh kerajaan terdahulu.
Ka Siong berkata, langkah itu bagi memastikan kerja-kerja pembinaan dan perpindahan sekolah terbabit dapat dijalankan dengan peruntukan yang disediakan pihak kementerian, sekali gus membolehkan hasrat masyarakat setempat terhadap pendidikan Cina dapat dipenuhi.
Sehubungan itu, Maszlee berkata, pihaknya meminta Ka Siong agar tidak mempolitikkan isu pembinaan SJKC dan tidak membuat andaian yang mengaitkan isu ini dengan parti MCA.
Sementara itu, Ka Sing menyifatkan keputusan Maszlee yang mahu mengkaji semula pembinaan lapan SJKC di Selangor dan Johor disifatkan sebagai tidak masuk akal.
“Alasan bahawa sebahagian projek itu bermotifkan politik adalah tuduhan melulu. Saya harap Menteri Pendidikan bertindak secara profesional dan jangan berfikiran sempit kerana sekolah ini adalah permintaan komuniti Cina di kawasan berkenaan,” katanya.











